Bajet 2023: KKM sasar dana RM3.4 bilion, 5 peratus dari KDNK - Khairy
Firdaus Azil
September 22, 2022 14:21 MYT
September 22, 2022 14:21 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap agar permohonan mereka untuk dinaikkan kepada 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 2.10 peratus sebelum ini, dapat diluluskan.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini, cadangan permohonan itu disokong oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta rakyat Malaysia secara amnya.
Jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, permohonan KKM di bawah Inisiatif Baharu 2023 berjumlah RM3.4 bilion itu adalah rasional demi memberikan perkhidmatan memelihara rakyat Malaysia, agar sentiasa sihat dan merawat mereka yang sakit pada tahap terbaik.
“KKM sedar untuk menunaikan permohonan ini bukan bermakna kita hendak terus dilaksanakan tahun hadapan. Mungkin mengambil masa dalam tempoh lima tahun dan kita pun faham akan kedudukan kewangan negara.
“Tapi saya merasakan perkara ini boleh dilaksanakan misalnya melalui peningkatan kutipan hasil atau melalui rasionalkan semula peruntukan kerana terutamanya untuk dirasionalkan subsidi petroleum kpd golongan sasar. Tentu terdapat lebihan untuk agihkan semula kepada Kesihatan,” katanya lagi.
Khairy berkata demikian kepada media dalam satu temubual khas di Putrajaya pada Rabu, sempena setahun menjawat jawatan sebagai Menteri Kesihatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Insiatif Baharu 2023 itu dibahagikan kepada enam teras utama.
Enam teras berserta kos cadangan adalah – Pengukuhan ‘Healthcare Awareness’ (RM738 juta); Fasiliti Kesihatan KKM (RM791.5 juta); Meningkatkan Keberkesanan Rawatan Kesihatan (RM850 juta); Penggantian Aset Perubatan Kritikal dan Usang (RM400 juta); Pendigital Perkhidmatan Kesihatan (RM460 juta); dan Insentif Penghargaan Anggota Kesihatan (RM183 juta).
Menyentuh mengenai pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula sedia diminum, Khairy berkata kajian telah dijalankan selama dua tahun.
Pada tahun ini, pihak KKM telah menjalankan kajian untuk melihat impak dan keberkesanan cukai tersebut setelah dua tahun pelaksanaan, tambahnya.
“Menurut WHO kenaikan cukai sebanyak 20 peratus perlu dikenakan untuk melihat impak kepada masyarakat. Justeru, kenaikan cukai sebanyak 20 peratus kepada produk minuman bergula sedia diminum akan dicadangkan sebagai penambahbaikan bagi pelaksanaan cukai ini secara menyeluruh mengikut saranan WHO.
“Selain itu, pada tahun ini juga peluasan cukai minuman bergula ke atas produk minuman pra-campuran telah dikuatkuasa dengan pengecualian ke atas produk rumusan bayi, rumusan khas bayi dan susu susulan bayi serta kanak-kanak,” katanya lagi.
Cadangan untuk memperluas pengenaan duti eksais itu, jelas Khairy, bukan sahaja terhad keatas minuman bergula, tetapi juga makanan-makanan lain yang mempunyai kandungan gula yang tinggi, bergantung kepada ketersediaan pihak industri untuk membuat reformulasi keatas produk-produk tersebut merangkumi makanan yang kurang garam dan lemak.
“Saya menggalakkan pihak industri untuk terlibat secara aktif dalam penghasilan produk makanan dan minuman yang lebih sihat, healthier choice logo (HCL) supaya dapat menghasilkan lebih banyak produk yang sihat di pasaran untuk dipilih oleh rakyat Malaysia,” tambahnya.