Bajet 2022: Teliti, libat urus semua pihak pastikan semua golongan dapat manfaat
Madiha Abdullah
Oktober 30, 2021 23:32 MYT
Oktober 30, 2021 23:32 MYT
KUALA LUMPUR: Pembentangan bajet terbesar bernilai RM322.1 bilion pada Jumaat, dengan sasaran mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dengan majoriti peruntukan dikhususkan kepada sektor sosial, tatkala rakyat melalui fasa pemulihan daripada kemelesatan pendapatan berpunca dari gelombang COVID-19 terbaru awal tahun ini.
Nilai peruntukan terbesar itu memberikan cabaran tersendiri dalam aspek perancangannya, terutama dalam memastikan setiap golongan rakyat mendapat manfaat.
Justeru, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sesi libat urus yang lebih teliti dan kritis bersama pihak berkepentingan termasuk pembangkang dijalankan, selain turut mengambil kira lebih 50,000 cadangan yang diterima menerusi portal Bajet 2022.
"Kita adakan sesi libat urus yang lebih teliti dengan pihak berkepentingan, kita turun padang di semua negeri dalam lebih 80 sesi, baik kerajaan dan pembangkang dam kita juga mengmabil kira lebih 50,000 cadangan di portal Bajet 2022.
"Kita gunakan idea-idea yang dikongsi, seperti yang saya sebutkan cadangan dari Dr Santesh Kumar semasa sesi bersama belia, beliau bangkitkan isu penyakit jarang jumpa dan kita sudah umumkan peruntukan untuk itu.
"Begitu juga dengan e-sports (e-sukan), saya diberitahu tentang kemenangan Malaysia di Romania. Kita sangat terbuka, memang kita tak mampu nak guna semua idea tetapi kita cuba ambil mana yang mampu," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI bertajuk Bajet 2022: Dari Rakyat Untuk Rakyat, pada Sabtu.
Melihat kepada situasi jangkitan COVID-19 yang sukar diramal, Tengku Zafrul berkata, Bajet 2022 merupakan fasa negara untuk melangkah terus ke hadapan, namun kerjasama Keluarga Malaysia penting bagi memastikan negara dapat terus bangkit dan pulih.
"Di UK (United Kingdom), mereka berjaya turunkan kes jangkitan dan kematian tetapi kita nampak ia meningkat kembali. Mungkin kerana SOP tidak dipatuhi, atau mungkin pelaksanaannya tidak ketat di sana. Apa yang penting ialah belajar dari kesilapan sendiri dan kesilapan orang lain, di mana pematuhan SOP itu penting.
"Kerajaan, Kementerian Kesihatan khususnya sangat risau apabila ada dalam kalangan rakyat yang tidak patuh SOP. Jadi saya harap rakyat fokus, dengan pembukaan ekonomi, kita kena sentiasa ingatkan diri, jangan jadi lagi seperti sebelum ini.
"Nyawa dan mata pencarian itu sama penting, jangan sampai kena pilih salah satu, perlu ada keseimbangan. Tetapi kita juga bertuah kerana vaksinasi semakin tinggi, malah sudah mulakan suntikan booster (penggalak).
"Dalam bajet, kita sudah umumkan yang 140 peratus rakyat akan terima tiga dos vaksin yang dibiayai kerajaan. Saya juga ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pembangkang yang sebulat suara meluluskan penggunaan wang Kumpulan Amanah Wang Negara untuk membiayai program vaksinasi," katanya lagi.