Bajet 2022: Strategi pembangunan usahawan
Ahmad Azuar Zainuddin
Oktober 27, 2021 12:33 MYT
Oktober 27, 2021 12:33 MYT
BAJET 2022 dibentang pada titik persimpangan di kala negara berada pada fasa pemulihan dan menghadapi situasi ekonomi dunia yang tidak menentu. Pembentangan Bajet 2022 diharap akan memperkasa inisiatif sedia ada dan memperkenalkan langkah baru bagi membantu para usahawan menghadapi cabaran jangka masa pendek dan bersedia untuk merebut peluang di masa hadapan.
Strategi Bajet 2022 dalam membantu usahawan harus tertumpu dengan mempercepatkan adaptasi teknologi, melihat kepada industri masa hadapan, dan merancakkan ekosistem pembiayaan. Adaptasi Teknologi Adaptasi teknologi harus menjadi teras utama dalam Bajet 2022 bagi pembangunan keusahawanan. Pandemik COVID-19 telah membuktikan bagaimana syarikat yang berjaya mendigitalisasi serta mengautomasi operasi mereka mempunyai daya tahan yang lebih tinggi dalam menempuhi keadaan persekitaran perniagaan yang mencabar.
Tawaran geran dan pelepasan cukai yang signifikan bagi tujuan seperti memperolehi sistem dan kelengkapan serta melatih dan mengambil tenaga kerja berkaitan teknologi boleh memberi tanda isyarat kepada ekosistem keusahawanan bahawa ini adalah halatuju penting dasar pembangunan usahawan negara kita. Usahawan yang berada di kawasan luar bandar tidak boleh ketinggalan dalam mengadaptasi teknologi dalam perniagaan mereka. Bagi tujuan ini, Bajet 2022 haruslah memberi peruntukan yang sewajarnya bagi pembangunan infrastruktur internet berkelajuan tinggi dan stabil untuk kawasan luar bandar.
Industri Masa Hadapan
Kita sedia maklum bahawa dunia kini sudah berubah oleh sebab faktor perkembangan teknologi dan juga keadaan perubahan iklim yang melanda dunia. Bagi membantu usahawan kita untuk kekal berdaya saing, Bajet 2022 harus fokus untuk membangunkan industri berpotensi tinggi untuk masa hadapan seperti ekonomi digital dan hijau. Program berbentuk latihan dan bimbingan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan harus direka semula dengan mengambilkira perkembangan industri masa hadapan.
Dalam usaha mengkomersilkan solusi yang dibangunkan syarikat tempatan, kerjasama rakan ekosistem yang boleh menawarkan akses kepada pasaran, teknologi terkini dan dana amatlah dialu-alukan. Hubungan universiti dan industri juga amat penting dalam aktiviti penyelidikan dan juga penghasilan graduan yang memenuhi keperluan pasaran
Sekiranya kita fokus dan membuat pelaburan yang sewajarnya, impian kita untuk melihat jaguh tempatan meneraju bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian pintar dan mobiliti lestari pasti akan menjadi realiti.
Merancakkan Ekosistem Pembiayaan Bajet 2022 boleh merancakkan lagi ekosistem pembiayaan perniagaan dengan meningkatkan penglibatan rakan ekosistem seperti crowdfunding ekuiti, pembiayaan peer-to-peer (P2P) dan pelabur budiman (angel investor). Usaha ini penting bagi merapatkan jurang dalam pembiayaan pada peringkat awal perniagaan yang dianggap berisiko tinggi oleh institusi kewangan konvensional.
Walaupun kita sudah mempunyai beberapa platform pembiayaan alternatif yang dibenarkan beroperasi oleh Suruhanjaya Sekuriti, seperti PitchIn dan Funding Society, kadar penggunaannya masih belum memasuki arus perdana jika dilihat dari jumlah keseluruhan pinjaman perniagaan. Penglibatan kerajaan di dalam penggunaan platform ini dilihat dapat memberi suntikan yang diperlukan. Mungkin model geran padanan dan jaminan pinjaman mengikut nisbah dan kadar yang dianggap sesuai boleh dipertimbangkan dalam Bajet 2022.
Kesimpulan
Bajet 2022 harus meletakkan pembangunan usahawan di hala tuju yang strategik dengan mengambil kira keperluan jangka sama pendek, sederhana dan panjang. Adaptasi teknologi harus menjadi agenda utama dengan fokus kepada industri masa hadapan dan merancakkan ekosistem pembiayaan berperanan memacu pembangunan usahawan negara ke tahap yang lebih tinggi.
* Ahmad Azuar Zainuddin ialah Ketua Pengarah Eksekutif, Satu Creative, sebuah syarikat perunding inovasi dan keusahawan berpusat di Kuala Lumpur.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.