Bajet 2022: Shafie persoal peruntukan kerajaan perangi COVID-19, sifatkan 'terlalu besar'
Hasimi Muhamad
November 2, 2021 13:15 MYT
November 2, 2021 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Selasa mempersoalkan peruntukan kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM1.22 trilion untuk menghadapi wabak COVID-19 dan mengharungi kemelesetan ekonomi dalam tempoh 23 bulan sejak pandemik melanda negara.
Jelas Ahli Parlimen Semporna itu, peruntukan tersebut termasuk melibatkan RM322.5 bilion bagi Bajet 2022, yang disifatkan sangat besar bagi tempoh tidak sampai dua tahun, selain tidak mencerminkan hasil baik kepada negara.
Membandingkan dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura yang turut menghadapi pandemik COVID-19, Mohd Shafie berkata negara itu tidak mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara mereka.
"Dengan jumlah sebesar ini, nescaya rakyat mengharapkan pulangan pelaburan yang baik kepada negara. Walau bagaimanapun, untuk rekod, di kala pandemik melanda Indonesia dan Singapura tidak mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara mereka.
"Namun hasilnya, tetap jauh lebih baik daripada kita.
"Pada tahun 2020 juga, kita turut umumkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara, namun sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) enam peratus hingga- tujuh peratus yang disasarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dapat kita capai.
"Kadar pertumbuhan negara hanya pada kadar tiga dan empat peratus. Justeru, perlu kita muhasabah diri dan tentukan sama ada kesemua peruntukan wang Rakyat sebanyak RM1.22 trilion itu, ditadbir urus dengan baik dan dibelanja dengan berhemah," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata memandangkan terdapat beberapa ‘lockdown' yang diumumkan sepanjang 2020 dan 2021, beliau berpandangan banyak perbelanjaan yang boleh dijimatkan.
Sebagai contoh, katanya perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran (KPM) semestinya makin rendah dari tahun sebelumnya memandangkan aktiviti pelajaran tidak berjalan seperti biasa.
"Sama juga dengan perbelanjaan pembangunan, memandangkan aktiviti ekonomi tidak berjalan seperti kebiasaannya, nescaya kerajaan mempunyai penjimatan daripada belanjawan lepas.
"Oleh yang demikian, adalah penting bagi pihak kerajaan memperjelaskan kepada rakyat berapa penjimatan yang dibuat untuk 2020 dan 2021 memandangkan ekonomi negara dan kebanyakan sektor sosial tidak dibuka sepenuhnya," ujar beliau,
Dalam masa yang sama, Mohd Shafie berkata peruntukan untuk pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta projek mega perlulah dibuat secara berhemah dan tidak menjadi keutamaan kerajaan.
"Bagi menanggung jumlah belanjawan dan perbelanjaan yang besar sepanjang dua tahun kebelakangan ini, Kerajaan juga telah meningkatkan tahap kadar hutang negara berbanding KDNK daripada 55 peratus pada 2019 kepada 65 peratus untuk 2021.
"Sekiranya boleh saya bandingkan dengan lima negara membangun di ASEAN. Setakat ini, hutang negara bagi Indonesia ialah 41 peratus, Filipina (52 peratus), Thailand (48 peratus) dan Vietnam (37 peratus).
"Malaysia pula dilaporkan setakat ini sebanyak 62 peratus. Malaysia merupakan negara yang mempunyai kadar hutang negara yang tertinggi antara negara membangun di ASEAN.
"Kesan hutang negara ini untuk jangka panjang mungkin tidak dirasai oleh generasi kita. Namun perlulah berpada-pada, agar anak cucu kita tidak berasa bebanannya," tambah Mohd Shafie.