Bajet 2022: Semarak Niaga Keluarga Malaysia usaha kerajaan bantu usahawan bangkit semula

Kenyataan Media
Februari 20, 2022 20:42 MYT
Ismail Sabri berkata, Semarak Niaga merupakan komitmen Kerajaan untuk membantu perniagaan bangkit semula, serta membina keupayaan dan daya saing mereka berikutan pandemik COVID-19, terutamanya PMKS. - Gambar/ Bernama
PROGRAM Semarak Niaga Keluarga Malaysia adalah antara usaha Kerajaan untuk membantu usahawan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk bangkit semula selepas terjejas akibat COVID-19 sebelum ini.
Program dengan peruntukan RM40 bilion melalui Bajet 2022 itu antara lain menyediakan skim pembiayaan merangkumi pelbagai jenis pinjaman, jaminan pembiayaan serta suntikan ekuiti untuk manfaat setiap usahawan.
Sempena pelancarannya yang dijadualkan pada Isnin (21 Februari 2022), ikuti penjelasan lanjut dalam wawancara khas mengenai program ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Soalan 1: Boleh YAB Perdana Menteri huraikan dengan lebih lanjut mengenai Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia?
• Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) merupakan komitmen Kerajaan untuk membantu perniagaan bangkit semula, serta membina keupayaan dan daya saing mereka berikutan pandemik COVID-19, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
• Oleh itu, melalui Bajet 2022, sebanyak RM40 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan ini yang merangkumi pelbagai bentuk pinjaman, termasuklah suntikan ekuiti.
• Inisiatif ini juga mencerminkan semangat Keluarga Malaysia, di mana seluruh komuniti usahawan, iaitu daripada perusahaan mikro hinggalah syarikat tersenarai awam boleh memohon.
• Akibat pandemik COVID-19, kita tahu yang paling terkesan adalah golongan PMKS. Mereka perlu dibantu, tidak kira dari segi skim pembiayaan seperti pinjaman langsung, mahupun geran padanan supaya keupayaan mereka untuk memulakan semula perniagaan bagi jangka masa panjang dapat dijamin.
• Di bawah Semarak Niaga, kita juga ada jaminan pembiayaan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion termasuk RM2 bilion khusus untuk Bumiputera. Semua ini akan memudahkan PKS mendapat pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.
Soalan 2: Bagaimanakah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini dapat membantu dalam usaha pemulihan ekonomi negara?
• Menerusi Semarak Niaga, kita mahu memastikan negara berada dalam landasan pemulihan ekonomi yang kukuh.
• Dengan ketidaktentuan ekonomi negara semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, kesannya masih dirasai oleh seluruh komuniti perniagaan. Kita dapat lihat beribu-ribu perniagaan terpaksa gulung tikar.
• Tentunya mereka menghadapi kesukaran untuk memulakan semula perniagaan atau memastikan kelangsungan operasi, terutamanya jika ada tanggungan hutang yang banyak.
• Oleh itu, Semarak Niaga bukan sahaja menyokong perniagaan dari segi suntikan modal kerja atau pembiayaan, tetapi juga melalui suntikan berbentuk ekuiti (seperti membeli saham atau memegang ekuiti dalam syarikat) kepada perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
• Ini merupakan salah satu penyelesaian yang inovatif, dan tidak pernah diperkenalkan sebelum ini. Kerajaan yakin usaha ini akan membantu komuniti usahawan untuk terus maju dan bangkit semula.
• Secara tidak langsung, apabila kita memberi bantuan dan sokongan kepada komuniti perniagaan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta, di samping memulihkan punca rezeki Keluarga Malaysia. Ini sekali gus akan mengurangkan kadar pengangguran, di mana Kerajaan menyasarkan kadar pengangguran yang akan terus pulih di bawah paras 4% menjelang hujung tahun ini.
• Kita akan terus membina di atas pencapaian tahun lalu: Jabatan Perangkaan Negara (DoSM) dan Bank Negara telah mengumumkan bahawa ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1% bagi tahun 2021, berbanding penguncupan 5.6% pada tahun 2020.
• Oleh itu, Kerajaan yakin bahawa usaha penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan perniagaan melalui Bajet 2022 akan menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.
Soalan 3: Boleh YAB Perdana Menteri memberikan pecahan bagi lebih RM40 bilion yang diperuntukkan untuk Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini?
1) Pecahan bagi peruntukan lebih RM40 bilion dalam Bajet 2022 bagi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia merangkumi Pinjaman Kredit Mikro berjumlah RM1.8 bilion; Pembiayaan Ekuiti/Alternatif
bernilai RM2.2 bilion; Pinjaman Mudah bagi PKS berjumlah RM14.2 bilion; serta Jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22.0 bilion.
• Yang pasti, seperti yang saya sebut tadi, semua tahap perniagaan, dari yang mikro/kecil hingga ke yang besar dan tersenarai di Bursa, semuanya boleh memanfaatkan langkah-langkah dalam inisiatif Semarak Niaga dari Bajet 2022. Malah, khusus untuk PKS mikro, sebelum ini Kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana sebesar RM1.8 bilion bagi pembiayaan, yang sesetengahnya siap ada ciri moratorium sehingga 12 bulan.
Soalan 4: Bagaimanakah agensi-agensi di Malaysia dapat memainkan peranan bagi memastikan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia dapat direalisasikan dengan jayanya?
• Agensi-agensi Kerajaan, sektor swasta, NGO, GLC dan GLIC haruslah bekerjasama dengan Kerajaan bagi merealisasikan inisiatif SemarakNiaga ini demi kesejahteraan seluruh Keluarga (Perniagaan) Malaysia.
• Kerjasama sebegini akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bagi membantu rakyat membina semula kehidupan mereka, memberikan sokongan kepada perniagaan-perniagaan yang terjejas, dan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial di negara ini.
• Secara keseluruhan, Kerajaan yakin inisiatif ini akan akan memulihkan kehidupan Keluarga Malaysia dan pembangunan sosio-ekonomi negara secara lebih seimbang, inklusif dan mampan.
Soalan 5: Apakah matlamat yang ingin dikecapi secara keseluruhannya bagi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia?
• Matlamat pertama yang ingin dicapai terlebih dahulu adalah memastikan momentum pemulihan yang kita kecapi pada suku keempat tahun 2021 dapat diteruskan. Kerajaan, menerusi agensi-agensi yang berkaitan telah menyediakan skim pembiayaan serta pembiayaan alternatif kepada PMKS dan perniagaan lain yang terkesan bagi membolehkan mereka bangkit dan menjana pendapatan semula. Ini juga termasuklah inisiatif
yang akan merancakkan dan memberi nafas baharu kepada sektor yang paling terkesan seperti pelancongan, peruncitan, dan juga hiburan.
• Matlamat yang kedua ialah membina ketahanan kewangan perniagaan, dan ini termasuk membantu mereka dari segi meningkatkan kemahiran pekerja. Ini berkait rapat dengan inisiatif JaminKerja yang baharu saya lancarkan pada 19 Februari.
• Matlamat terakhir adalah untuk memangkin pembaharuan bagi menyokong usaha negara ke arah sebuah ekonomi yang lestari, dan diperkasa oleh Transformasi Digital & IR4.0. Bagi menguasai digital, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah sokongan termasuklah seperti geran pendigitalan PKS dan geran padanan automasi pintar bagi mempercepatkan transformasi digital; selain membantu ekonomi gig dan start-up untuk bertapak dalam dunia perniagaan.
• Selain itu, suka saya berkongsi bahawa Semarak Niaga juga dilengkapi oleh inisiatif Bajet 2022 yang lain, terutamanya dalam memudah cara urusan perniagaan. Ini termasuklah dalam menyesuaikan perniagaan dengan keperluan operasi pasca COVID-19. Sebagai contoh Kerajaan akan melanjutkan potongan
cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 untuk menyokong pematuhan SOP seperti menambah baik sistem pengudaraan; dan memberi potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewa tempat penginapan pekerja.
• Selain itu, Bajet 2022 juga akan terus memperkasakan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan yang kekal berdaya saing. Ini termasuklah usaha menggalakkan lebih banyak pelaburan strategik. Sebagai contoh, terdapat dana pelaburan strategik khas untuk menarik pelaburan asing dalam kalangan syarikat
multinasional (RM2 bilion); pemberian geran pemadanan Automasi Pintar kepada 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan (RM100 juta); serta program kemahiran/latihan untuk melatih seramai 20,000 pekerja untuk menyokong kelompok industri (RM80 juta).
Soalan 6: Bagaimanakah PMKS boleh mendapatkan skim-skim yang ditawarkan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia?
• Saya menjemput komuniti usahawan untuk merebut peluangpeluang yang akan membolehkan mereka pulih dan kembali berdiri semula. Ini sekali gus akan menyokong usaha pemulihan sosio-ekonomi negara.
• Komuniti usahawan dan perniagaan digalakkan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/. Portal interakrif ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai
skim-skim dan manfaat yang ditawarkan di bawah inisiatif SemarakNiaga ini.
• Melangkah ke hadapan, Kerajaan sentiasa komited dalam memangkin pemulihan, serta meningkatkan daya tahan dan daya saing sektor perniagaan, terutamanya PMKS.
#bajet 2022 #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Semarak Niaga Keluarga Malaysia
;