Bajet 2022: RM1.5 bilion untuk projek perumahan kepada B40

Hasimi Muhamad
Oktober 29, 2021 18:28 MYT
Tengku Zafrul berkata secara keseluruhan, kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi Bajet 2022. - Foto JAPEN
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan untuk meneruskan projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan itu antaranya bagi meneruskan Program Perumahan Rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat.
"Pada masa sama, kerajaan tidak lagi mengenakan cukai keuntungan harta tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Bajet 2022: Pemilikan Rumah Kediaman
BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI BAJET 2022 DI SINI
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhan, kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi Bajet 2022.
Jelas beliau lagi, bagi memastikan kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat barangan keperluan asas seperti petrol pada harga yang berpatutan, kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.
Dalam masa yang sama, Tengku Zafrul berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan turut melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 kepada sembilan peratus sehingga Jun 2022 melibatkan anggaran nilai RM2 bilion.
Selain itu, beliau berkata untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, kerajaan juga akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang membabitkan pemasangan tempatan (CKD).
Manakala, 50 peratus ke atas model import sepenuhnya (CBU) termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.
#bajet 2022 #PPR #B40 #subsidi
;