Bajet 2022: PTPTN buat perancangan segera laksana skim diskaun - Wan Saiful

Astro Awani
Oktober 29, 2021 19:30 MYT
Wan Saiful berkata, persetujuan kerajaan berkaitan diskaun itu amat dihargai terutama dalam rangka PTPTN membantu semua anak muda yang terbeban dengan suasana ekonomi sekarang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membuat perancangan segera bagi melaksanakan skim diskaun bayaran balik pinjaman yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 hari ini.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang meluluskan permohonan PTPTN berkaitan diskaun berkenaan.
"Terima kasih kepada YB Menteri Kewangan kerana meluluskan permohonan saya untuk memberi diskaun bayaran balik kepada para peminjam PTPTN.
"Saya ambil maklum butiran yang diumumkan dalam ucapan Bajet 2022 dan saya akan arahkan para pegawai PTPTN membuat perancangan segera untuk melaksanakan skim diskaun ini.
"Saya sentiasa prihatin dengan bebanan yang ditanggung oleh para peminjam PTPTN. Insya-Allah saya akan berusaha membantu dari segi dasar-dasar yang mesra peminjam seperti skim diskaun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bajet 2022: Kerajaan setuju beri diskaun PTPTN
BACA: Bajet 2022: Nak bayar balik PTPTN? Diskaun sehingga 30 April 2022
Terdahulu, Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 Nov ini hingga 30 April 2022.
Beliau berkata, ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, persetujuan kerajaan berkaitan diskaun itu amat dihargai terutama dalam rangka PTPTN membantu anak muda yang terbeban dengan suasana ekonomi sekarang.
"Saya juga gembira dengan pelbagai peruntukan yang diberikan dalam rangka melindungi pekerjaan dan mencipta pekerjaan. Ini akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, terutama kepada anak muda dan mereka yang terkesan dengan COVID-19.
"Pekerjaan yang stabil adalah penyelesaian sebenar kepada cabaran hidup rakyat. Program yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti JaminKerja, MyStep, rebat cukai untuk penyertaan kursus peningkatan kemahiran, dan lain-lain lagi adalah intervensi penting untuk mewujudkan penyelesaian yang lestari," katanya.
#bajet 2022 #PTPTN #diskaun #Wan Saiful Wan Jan
;