Bajet 2022: Platform kembangkan pasaran E-Desa dengan lebih meluas
Astro Awani
Disember 7, 2021 18:39 MYT
Disember 7, 2021 18:39 MYT
PADANG TERAP: E-Desa@Bazar (E-Desa) bermula hanya sebagai aplikasi untuk penduduk sekitar Pekan Kuala Nerang, Kedah bagi mendapatkan juadah berbuka puasa pada permulaan fasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Bagaimanapun, aplikasi yang diwujudkan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan kawasan luar bandar itu kini diperluaskan fungsinya dengan turut merangkumi promosi produk barangan basah, inap desa, pakaian serta barangan keperluan harian selain produk makanan sedia ada.
Menurut pengasasnya, Saiful Zaharin Zakariya, yang turut mengusahakan syarikat percetakan, usaha mewujudkan E-Desa sebenarnya bertunjangkan idea sebuah platform PMKS membantu PMKS yang lain untuk terus berjuang dalam tempoh sukar sekitar hampir dua tahun ini.
"Selepas habis musim bulan puasa itu (pemulaan PKP), kita ingat setakat itu sahaja untuk apps (aplikasi) E-Desa@Bazar.
"Tetapi atas permintaan rakan-rakan dan para peniaga di luar daerah Padang Terap yang mahu pihak DZ Media mengembangkan E-Desa ke seluruh Malaysia, kita ketika itu beralih daripada fasa 1 kepada 2 (E-Desa).
"Kita naik taraf platform kepada e-dagang, sekarang kita ada hampir 1,000 orang (yang terlibat dengan PMKS) dan telah hantar borang permohonan untuk dimasukkan ke dalam E-Desa," katanya ketika ditemui di sini.
Saiful Zaharin berkata, meskipun berhadapan waktu sukar yang menjejaskan perusahaannya dan banyak pihak lain, beberapa insentif diberikan kerajaan khususnya menerusi Bajet 2021 seperti subsidi upah dan bantuan melibatkan pengoperasian secara dalam talian, banyak membantu E-Desa untuk terus berjuang bagi membantu komuniti perniagaan PMKS.
"(Menerusi Bajet 2021) banyak dana yang membantu pihak E-Desa dan juga pihak peniaga contoh macam top up coverage, itu yang banyak membantu, kekangan kita waktu itu kita hanya boleh buat kelas dan juga untuk menerangkan tentang E-Desa melalui online sahaja.
"Subsidi upah pun membantu sebab kita tahu dalam keadaan pandemik ni, sales kita hampir drop separuh daripada sedia ada... jadi dengan inisiatif kerajaan untuk bantu majikan tentang gaji, kira bantu banyaklah," katanya.
Dalam pada itu, Saiful Zaharin turut menyatakan beberapa insentif yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Bajet 2022 berupaya melonjakkan E-Desa ke peringkat lebih tinggi dan dikenali di seluruh Malaysia sebagai platform PMKS membantu PMKS lain.
Beliau mengharapkan sektor ekonomi pada tahun 2022 bertambah baik dan menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil rakyat Malaysia khususnya pihak PMKS bagi tahun-tahun berikutnya.
"Harapan saya, ekonomi kita bertambah baik dan sasaran kita dalam E-Desa ini (adalah untuk) meramaikan seramai mungkin (PMKS yang terlibat), kita target 3,000 peniaga (PMKS) sekurang-kurangnya untuk pertengahan tahun depan bagi merancakkan lagi perniagaan dalam industri PMKS kita," katanya.