Bajet 2022: Peruntukan khusus RM20 juta setiap negeri, fokus jaminan makanan, pelancongan, alam sekitar

Astro Awani
Oktober 29, 2021 18:53 MYT
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga prihatin membantu kerajaan negeri meningkatkan pembangunan ekonomi negeri. - Gambar Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan khusus berjumlah RM20 juta bagi setiap negeri bagi memfokuskan kepada projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan dan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan untuk perkara tersebut adalah RM260 juta.
"Kerajaan juga prihatin membantu kerajaan negeri meningkatkan pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Sabah dan Sarawak juga akan menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion, kata Tengku Zafrul.
"Peruntukan ini antaranya adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan," ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM690 juta.
“Ia merangkumi enam projek baharu dan 66 projek sambungan seperti projek Pertanian Pintar di Igan, Sarawak,” katanya.
Katanya, keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah adalah penting bagi memastikan kesemua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati hasil pembangunan.
#Dewan Rakyat #bajet 2022 #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #projek infrastruktur air elektrik dan jalan raya
;