Bajet 2022: MaGIC sambut baik penyatuan strategik TCA

Astro Awani
November 1, 2021 13:16 MYT
Amiruddin berharap, MaGIC dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak swasta dalam usaha merancakkan lagi ekonomi tempatan.
KUALA LUMPUR : Bajet 2022 menyokong pewujudan pemecut pengkomersialan teknologi (TCA) melalui penyatuan strategik Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Amiruddin Abdul Shukor berkata, TCA yang akan mula beroperasi tahun depan itu bakal meningkatkan keupayaan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam usaha memacu pengkomersialan teknologi.
Jelasnya, cadangan yang dibuat dalam pembentangan Bajet 2022 akan memastikan ekosistem teknologi dan inovasi terus mendapat sokongan bagi membolehkan penyampaian inovasi yang memberi impak positif.
Ia juga dijangka membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan memajukan ekonomi.
“Kerajaan dapat meningkatkan aktiviti R&D dan memacu perkomersialan teknologi melalui peruntukan RM423 juta kepada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Peruntukan ini termasuk juga geran padanan RM12 juta yang akan merangsang penyelidikan bersama dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi dalam memacu sektor ekonomi berteraskan pengetahuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai peruntukan di bawah Bajet 2022, dalam program Niaga AWANI hari ini.
Niaga AWANI: Bajet 2022 – Menarik masuk pelaburan
Pada masa sama, Amiruddin berharap, pihaknya dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak swasta dalam usaha merancakkan lagi ekonomi tempatan.
“Ia supaya R&D tempatan dapat dikomersialkan dalam negara untuk perkembangan ekonomi.
“Ia juga memainkan peranan memacu ekonomi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Negara kita juga berhasrat menjadi pengeluar teknologi dan bukan sekadar pengguna teknologi,” katanya.
Sebagai pemudah cara inovasi dan pembolehteknologi Malaysia, dana RM30 juta diperuntukkan menerusi Bajet 2022 untuk menubuhkan hab tersebut yang akan berperanan sebagai pusat kecemerlangan.
Ia juga menyokong ekosistem inovasi negara dengan membangunkan kluster teknologi baharu seperti dron, robotik dan kenderaan tanpa pemandu.
#bajet 2022 #pemecut pengkomersialan teknologi #MaGIC #pembangunan dan penyelidikan
;