Bajet 2022: Kurangkan jumlah penerima bantuan pada masa depan - Pakar ekonomi
Hasimi Muhamad
Oktober 30, 2021 12:56 MYT
Oktober 30, 2021 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, dan bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima disifatkan boleh memberi impak positif kepada ekonomi dalam jangka masa terdekat melalui peningkatan kuasa beli oleh golongan B40.
Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, kerajaan turut perlu memberi fokus kepada usaha untuk mengurangkan jumlah penerima bantuan pada masa depan melalui penyediaan inisiatif yang lebih terangkum bagi meningkatkan daya saing rakyat, termasuk dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
Jelas beliau, ia sekali gus dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak, meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
"Bukan setiap tahun (jumlah penerima berkurangan) tetapi sekurang-kurangnya mungkin dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kita dapat menyaksikan jumlah penerima ini (bantuan) semakin berkurangan kerana kita berjaya mewujudkan peluang pekerjaan, dan kumpulan ini mempunyai gaji yang lebih kompetitif.
"Kalau bercakap mengenai isu berkaitan keusahawanan, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana semakin meningkat dari segi daya tahan saing dan mereka akhirnya dapat mengekport barangan ke luar negara.
"Jadi, perkara-perkara ini sepatutnya kita dapat petakan insentif kerajaan untuk mengeluarkan (kumpulan B40 dalam kemiskinan), dan impaknya saya tak rasa dalam masa terdekat. Tetapi sekurang-kurangnya dalam dua atau tiga tahun kita nampak hasilnya," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan BKM dalam Bajet 2022 dengan peningkatan berbanding RM7 bilion dalam Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Afzanizam menambah, jika jumlah menerima bantuan tunai berjaya diturunkan pada masa depan, ia mencerminkan bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berjaya.
Katanya lagi, perkongsian maklumat yang lebih mudah dan tepat kepada rakyat amat penting untuk memastikan mereka memahami bahawa setiap sumber kerajaan adalah terhad, dan ia sepatutnya digunakan ke tahap yang lebih baik agar dapat melahirkan impak ekonomi yang berpanjangan.
"Contoh kalau kita lihat, kita nak belanja subsidi atau lebih kepada pendidikan... Sebenarnya ini satu pilhan yang agak kritikal (kerana) kita fikir faktor jangka dekat. Tetapi sedangkan pada masa akan datang, kita perlu fikirkan generasi akan datang bagaimana mereka mendapat pekerjaan atau melakukan perniagaan yang lebih baik.
"Jadi, (penekanan kepada) aspek pendidikan atau peruntukan yang lebih. Tetapi, impaknya kita tak dapat rasa dalam masa terdekat, namun satu pertimbangan perlu diterapkan untuk pastikan rakyat faham bahawa setiap pilihan itu ada impak jangka masa panjang," ujarnya lagi.
Mengenai bantuan awal persekolahan yang dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 pula, Afzanizam berkata peningkatan tersebut adalah wajar kerana mengambil kira kos sara hidup.