Bajet 2022: Kerajaan tambah pos kawalan sempadan di Sabah, Sarawak
Nickyson Nyambar
Oktober 29, 2021 17:46 MYT
Oktober 29, 2021 17:46 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk menambah lapan pos kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ia sebagai komitmen kerajaan untuk terus menjaga kedaulatan negara dan ketenteraman awam.
"Ke arah memperkukuh kedaulatan negara, kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) antaranya di Pagalungan di Sabah dan Temong Mura di Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan," kata beliau dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.
Selain itu, kata Tengku Zafrul lagi, susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, negara turut menambah empat pintu masuk imigresen melibatkan Telok Melano dan Baleh di Sarawak.
"Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano," tambah beliau.