Bajet 2022: Kerajaan sasar tingkatkan amalan digitalisasi dalam kalangan PKS - Tengku Zafrul

Firdaus Azil
Oktober 20, 2021 16:18 MYT
Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan, termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA, serta meningkatkan amalan digital PKS, kata Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bajet 2022 yang akan dibentangkan 29 Oktober ini dirangka berdasarkan senario negara yang sedang pulih dari krisis pandemik mengikut keperluan utama, kata Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu berkata, dokumen berkenaan juga akan memberi tumpuan kepada pemulihan pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan.
Menurut Tengku Zafrul, untuk mencapai hasrat itu, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA serta meningkatkan amalan digital, terutamanya dalam kalangan penggiat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Ini adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara, membangunkan ekonomi dengan lebih lestari dan terangkum serta akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini destinasi pelaburan utama.
“Selaras dengan tema Keluarga Malaysia iaitu Makmur, Inklusif dan Mampan, Kementerian Kewangan akan menyelaras bidang-bidang keutamaan Bajet 2022, dengan fokus utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), secara khususnya Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada pemulihan pembinaan semula daya tahan negara, dan pembangkin pembaharuan,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata demikian sewaktu menyempurnakan Majlis Surat Penerimaan SME Relief Program Pemulih Fasa Dua SME Bank 2021 di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri serta pengurusan kanan kementerian dan SME Bank.
Melalui program itu, seramai 10 pemohon terdiri daripada pengusaha sektor pelancongan – pengusaha hotel, chalet, serta pengangkutan darat dan laut akan menerima bantuan SME Bank bernilai hampir RM350 juta.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, tumpuan Bajet 2022 juga terarah kepada meneruskan bantuan dan sokongan kepada pemulihan negara, selari dengan agenda yang turut digariskan dalam RMK-12.
"Kita mahu menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis.
“Ini bagi melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan, yang akhirnya dapat memangkin pembaharuan pasca pandemik, supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa, berdaya saing, dan berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan,” katanya lagi.
#bajet 2022 #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #MOF #pendigital pks
;