Bajet 2022: Kenapa penjawat awam dapat bantuan khas RM700? Ini jawapan Tengku Zafrul
Madiha Abdullah
Oktober 30, 2021 23:19 MYT
Oktober 30, 2021 23:19 MYT
KUALA LUMPUR: Apabila penjawat awam Gred 56 dan ke bawah dimaklumkan akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 sebagai salah satu insentif dalam Bajet 2022, terdapat suara-suara yang meluahkan rasa tidak puas hati.
Ada yang berpendapat ia tidak adil memandangkan penjawat awam tidak begitu terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat COVID-19.
Namun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat pemberian itu setimpal dengan pengorbanan mereka yang mencurah masa dan tenaga semasa pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Kita kena ambil kira usaha penjawat awam dalam melaksanakan program pemulihan dan imunisasi kebangsaan, penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan SOP seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), para petugas kesihatan, malah ada yang terpaksa korbankan cuti demi menjalankan tugas.
"Saya sendiri berasal dari sektor swasta, saya faham keluhan itu, tetapi saya fikir kalau dibandingkan dengan bonus tahunan pekerja swasta, ia bukanlah pada kadar berlebihan," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI bertajuk Bajet 2022: Dari Rakyat Untuk Rakyat, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan, Bajet 2022 memperlihatkan kerajaan komited menangani situasi berkenaan, dengan fokus diberikan kepada golongan belia dan graduan baharu dalam penjanaan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan.
"Mengambil kira kadar pengangguran di negara ini yang masih tinggi iaitu 4.3 peratus, tetapi ia sudah sedikit menurun berbanding semasa peak pada Mei tahun lepas, iaitu lebih 5 peratus.
"Unjuran kita ialah 4 peratus, sebab itu kita umumkan program Jamin Kerja untuk menjana 600,000 peluang pekerjaan. Sebelum ini pun kita sudah ada program seumpama ini dan kita mampu cipta lebih kurang 500,000 pekerjaan baharu, jadi kita yakin kali ini juga sasaran itu akan tercapai.
"Fokus kita pastinya golongan anak muda sebab itu kita perbanyakkan program latihan graduan dan perantis.
"Peruntukan untuk Jamin Kerja ini besar, iaitu RM4.8 bilion. Kita adakan program insentif majikan untuk ambil pekerja OKU, Orang Asli dan banduan, kita juga MyStep dengan kira-kira 80,000 pekerjaan dijamin. Ada juga program lain seperti Glow, kerjasama dengan MDEC.
Katanya, langkah seterusnya kini adalah pelaksanaan, dengan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai pemantau.