Bajet 2022 kekal bercirikan pengembangan - Tengku Zafrul
Bernama
September 21, 2021 13:34 MYT
September 21, 2021 13:34 MYT
KUALA LUMPUR: Bajet 2022 akan kekal bercirikan pengembangan dan berkonsepkan sebagai belanjawan pemulihan untuk menyokong usaha pembaharuan kerajaan yang lebih meluas dan berjangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata berdasarkan tiga fokus utama Bajet 2022 iaitu memacu pemulihan ekonomi (recovery), membina semula daya ketahanan negara (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform), bank dan institusi kewangan termasuk institusi kewangan pembangunan (DFI) akan memainkan peranan penting untuk terus maju.
"Tahun 2022 akan menjadi tahun kritikal bagi Malaysia, tahun untuk bangkit dan memulakan bukan hanya pemulihan ekonomi, tetapi pemulihan industri, kehidupan dan pekerjaan, terutama pada mereka yang terjejas teruk kerana pandemik," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Dalam membina daya tahan, beliau berkata bank dan institusi kewangan memainkan peranan penting antara lain; menyokong pelanggan dalam peralihan mereka kepada keperluan normal baharu termasuk memanfaatkan pendigitalan dalam fokus dan operasi perniagaan mereka.
"Bank turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan peranan perantaraan kewangan sepanjang kitaran mana-mana perniagaan, baik usahawan yang bercita-cita tinggi atau konglomerat yang akan melaksanakan tawaran awam permulaan dan mereka yang meneroka bentuk pembiayaan alternatif termasuk rantaian bekalan pembiayaan atau kemudahan berasaskan perdagangan baharu.
"Usaha-usaha ini akan melengkapi inisiatif yang lebih luas oleh kerajaan termasuk Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) Negara dengan digitalisasi dan penggunaan teknologi sangat penting dalam meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia," jelas beliau.
Sebagai penggerak modal, Tengku Zafrul berkata industri perbankan adalah kunci dalam memudahkan peralihan syarikat ke arah amalan karbon rendah dan lestari melalui pembiayaan dan pelaburan melangkaui pandemik, sama ada menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, teknologi baharu atau cara baharu menjalankan perniagaan.
"Sudah pastinya faktor untuk bangkit dengan lebih baik adalah mengubah cara bank beroperasi. Di peringkat global, lebih daripada 45 peratus industri perbankan global telah mendaftar bagi Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab.
Menteri itu juga mendesak agar lebih banyak institusi kewangan dalam negara untuk turut serta yang mana ini adalah baik untuk perniagaan selaras dengan objektif Matlamat Pembangunan Lestari dan Perjanjian Iklim Paris.
Beliau menambah dengan berbuat demikian, ia dapat memastikan integrasi kelestarian yang lebih mendalam dalam semua bidang perniagaan bank - dari membuat keputusan strategik, kehendak risiko hingga kepada perolehan.
"Usaha seperti ini tentunya akan melengkapkan usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB dalam peruntukan tahunannya. Bermula dengan Bajet 2021, ciri ini akan diteruskan dalam Bajet 2022, serta melalui inisiatif yang lebih luas seperti RMK-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.
Memandangkan kesihatan sektor kewangan terikat dengan ekonomi yang lebih luas, Tengku Zafrul berkata amat penting bagi industri perbankan melipat ganda usaha dalam mendorong pemulihan ekonomi sambil menyokong kelangsungan perniagaan, terutama dalam memulakan perniagaan ketika ekonomi dibuka semula.
Dalam hal ini, katanya industri perbankan diharap dapat memudahkan pinjaman kepada perniagaan dengan syarat pembiayaan dan pembayaran yang akomodatif termasuk menyertai program iTEKAD yang membantu pengusaha mikro untuk memulakan dan mempertahankan perniagaan mereka.
Industri ini juga mesti menyediakan kemudahan berasaskan bukan hutang seperti skim mudah tunai CAKNA dan Jana Niaga yang melegakan kekangan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa meningkatkan tahap hutang mereka.
Bank-bank juga harus menggalakkan pembayaran digital, termasuk melalui penyertaan pedagang kecil untuk menerima pembayaran QR dan memastikan bayaran yuran peniaga yang berpatutan; di samping menyokong melalui berbagai skim pembiayaan - segmen peminjam yang paling kurang mendapat perkhidmatan/layanan, baik di sektor sektor perhotelan, perusahaan mikro atau pengusaha wanita, katanya.
Sementara itu, Pengerusi majlis penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, selain daripada pakej rangsangan kerajaan, salah satu faktor utama yang membolehkan pemulihan ekonomi adalah ketahanan sistem kewangan dan pasaran modal.
"Selepas mengalami dan belajar daripada Krisis Kewangan Asia 1997/98 dan Krisis Kewangan Global 2008, sektor perbankan sekarang lebih baik dari segi permodalan serta diurus dan dikawal selia dengan lebih baik," katanya dalam ucapan alu-aluan dalam majlis yang sama.
Berdasarkan kepada perangkaan BNM, Abdul Wahid berkata nisbah modal ekuiti teras Tier 1 sistem perbankan iaitu 14.59 peratus pada 31 Julai 2021 adalah jauh lebih tinggi daripada nisbah modal teras 9.05 peratus pada 31 Dis 1997 dan 10.61 peratus pada 31 Dis 2008.
Selain memainkan peranan tradisional untuk menggerakkan dana daripada pendeposit dan menyalurkannya ke sektor ekonomi yang produktif, beliau berkata bank dan syarikat perkhidmatan kewangan Malaysia juga diwakili dengan baik di pasaran saham dengan perwajaran (weighting) yang signifikan di FBM KLCI dan indeks kemampanan FTSE4GOOD Bursa Malaysia.
"Lapan saham perbankan sahaja iaitu Maybank, Public Bank, CIMB, HLB, RHB, AmBank, Affin dan Alliance, memiliki gabungan permodalan pasaran RM292 bilion atau 17 peratus daripada jumlah permodalan pasaran sebanyak RM1.73 trilion pada akhir Julai 2021," katanya.
-- BERNAMA