Bajet 2022: 'Jangan panggil, kemudian longgok' - Anwar Ibrahim

Hasimi Muhamad
September 14, 2021 18:10 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tanggapan bahawa Pakatan Harapan wajib menyokong Rang Undang-Undang Belanjawan 2022 susulan termeterainya MoU dengan kerajaan pada Isnin. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tanggapan bahawa Pakatan Harapan (PH) wajib menyokong Rang Undang-Undang Bajet 2022 susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pada Isnin.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali kerana blok pembangkang bersedia menyokong dan berkecuali selepas proses RUU Bajet 2022 dirunding dan dipersetujui bersama.
“Ada yang menganggap dengan MoU ini kita (pembangkang) wajib menyokong Bajet 2022, Itu tidak benar.
“Dalam MoU ini disebut kita boleh mengambil pendirian menyokong, berkecuali, bagi undi Bajet 2022 selepas proses penggubalan RUU tersebut dirundingi dan dipersetujui.
Syarat kerjasama untuk gubal RUU Belanjawan 2022
“Ini jelas bermakna, tanggungjawab Menteri (Kewangan) dan tanggungjawab pembangkang untuk mengambil sikap terbuka bersedia duduk berunding,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Titah Diraja pada hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, pada Selasa.
Menguls lanjut, Anwar berkata, beliau tidak mahu situasi sama ketika rundingan RUU Bajet 2022 berulang.
“Jangan seperti (Bajet 2021), Menteri Kewangan panggil (pembangkang) ada perbincangan kemudian dia longgok dalam Belanjawan, anggap kita dah setuju dan terima. Tidak.
“Kalau nak ada kerjasama, untuk kita menyokong dan berkecuali mesti ada proses rundingan dan kita bersetuju perkara-perkara asas,” tegas Anwar lagi.

* Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.
#Pakatan Harapan #Anwar Ibrahim #Menteri Kewangan
;