Bajet 2022: Inisiatif untuk wanita, sektor pertanian mampu beri impak besar
Madiha Abdullah
Oktober 29, 2021 23:00 MYT
Oktober 29, 2021 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2022 dilihat selari dengan matlamat utama ke arah pemulihan semula ekonomi pasca COVID-19.
Ketua Ekonomi Pusat PERKESO, Prof Madya Dr Yusof Saari berkata, paling menarik ialah kewujudan inisiatif khusus untuk wanita yang dilihat akan menggalakkan golongan wanita kembali ke dunia pekerjaan selepas berkahwin, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
"Pertama pembabitan wanita, di mana insentif diberikan kepada usahawan, jana pendapatan dari rumah, wujudkan taska di pejabat kerajaan dan sebagainya. Ini satu bentuk sokongan dan galakan kepada wanita untuk memasuki pasaran buruh kerana kadar buruh wanita lebih rendah berbanding lelaki dalam pasaran.
"Hal ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan ekonomi, kerana salah satu punca kurangnya penyertaan wanita dalam pasaran buruh ialah kerana sistem sokongan yang tidak kondusif.
"Wanita selepas berkahwin, banyak perkara yang akan dinilai, dari segi kewangan, masa dan manfaat yang akan diperoleh. Kerana itu mereka lebih selesa di rumah dan terbabit dalam aktiviti shadow economy.
"Inisiatif dalam bajet kali ini menunjukkan kerajaan serius untuk legalise shadow economy, jadi mereka lebih jelas tentang apa yang dilakukan dan pulangan yang diperolehi," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam Buletin AWANI Khas sempena pembentangan Bajet 2022, hari ini.
Turut menerima reaksi positif ialah fokus yang diberikan kepada golongan belia dan pembangunan pasaran buruh, serta pemodenan sektor pertanian yang dilihat mampu membuka ruang kepada lebih ramai usahawan tani moden.
"Insentif galakan modenisasi sektor pertanian sangat dialu-alukan kerana sektro ini masih terbuka untuk dieksploitasi dan dimajukan.
"Ia beri pilihan kepada golongan belia khususnya graduan untuk menceburi bidang ini dan bergelar usahawan tani kerana kita tahu sekarang peluang pekerjaan terhad, ditambah pula dengan isu ketidakpadanan kerja dengan gaji dan kelulusan.
"Kita memerlukan ekosistem yang baik dalam sektor pertanian untuk tarik golongan muda masuk, sebagai contoh kita di sini melihat pertanian sebagai bidang tradisional, jadi sudah sampai masa kita jenamakan semula, cari strategi yang lebih baik untuk perkasa sektor pertanian," tambahnya.
Antara yang disebutkan dalam pembentangan Bajet 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini ialah mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat penyenaraian awam.
Kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan golongan itu dalam sektor ekonomi melalui latihan kepimpinan muda dan pelaksanaan program keusahawanan, Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM30 juta bagi kemudahan taska di bangunan-bangunan kerajaan terutama di hospital dan universiti awam selain akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat satu pejabat.