Bajet 2022: Dana RM10 juta dapat bantu rancakkan pembangunan atlet, sukan para
Bernama
Oktober 29, 2021 23:33 MYT
Oktober 29, 2021 23:33 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) berbesar hati apabila buat julung kalinya pembangunan sukan para dan program latihan atlet sukan itu diberikan penekanan khusus menerusi peruntukan sebanyak RM10 juta dalam Bajet 2022.
Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata peruntukan itu akan digunakan MSN bagi memperhebatkan lagi pembangunan sukan para dan memperbanyakkan penganjuran pertandingan di peringkat domestik bagi melahirkan barisan jaguh baharu sukan itu.
"Ini kali pertama peruntukan kepada atlet para khusus bagi pembangunan sukan para negara dan sudah tentu ia dapat merancakkan lagi usaha membangunkan sukan para di peringkat domestik supaya lebih banyak bakat-bakat terpendam dalam kalangan OKU (Orang Kurang Upaya) dapat kita ketengahkan.
"Dengan cara itu kami berharap dapat membantu mereka supaya lebih berani tampil keluar (menceburi bidang sukan) kerana ada sesetengah kes ibu bapa lebih suka 'menyorokkan' anak-anak (OKU) mereka," katanya kepada Bernama, hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan RM10 juta diperuntukkan kepada MSN khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU.
Pada masa sama, Ahmad Shapawi berkata perincian tentang peruntukan kepada sektor sukan termasuk dari sudut program persediaan atlet menghadapi temasya sukan antarabangsa akan diperoleh daripada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
"Secara amnya kami bersyukur dengan bantuan dan kepercayaan kerajaan yang terus menyediakan peruntukan walaupun kami sedar bahawa negara sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi negara yang masih belum kukuh," katanya.
Sementara itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap MSN dapat mempertimbangkan untuk memberikan separuh daripada peruntukan itu kepada mereka bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan di peringkat akar umbi.
Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata ia termasuk bagi meneroka bakat-bakat baharu dan program klasifikasi atlet paralimpik.
"MSN boleh menggunakan lebihan RM5 juta untuk program latihan elit manakala baki RM5 juta lagi boleh diberikan kepada MPM untuk merangka program akar umbi.
"Saya tak nafikan program akar umbi kendalian MSN sememangnya bagus namun akhirnya, klasifikasi atlet itu dilakukan oleh MPM, jadi biarlah kami yang uruskan program akar umbi sehingga ke peringkat klasifikasi atlet," katanya.
Selain program akar umbi, beliau memaklumkan dana RM5 juta itu boleh memperkasakan 25 persatuan sukan paralimpik kebangsaan yang bernaung di bawah MPM selain membantu pihaknya menganjurkan beberapa kejohanan sukan para pada masa depan.
-- BERNAMA