Bajet 2020: Petani kecil harap syarat terima bantuan dilonggarkan
Astro Awani
Oktober 18, 2021 06:50 MYT
Oktober 18, 2021 06:50 MYT
BATU PAHAT: Kenaikan harga kos penyelenggaraan seperti racun dan baca sehingga 50 peratus sejak pendemik COVID-19, ternyata membebankan usahawan sektor pertanian terutama pekebun kecil.
Selain masalah kenaikan harga, usahawan tani ini juga berdepan dengan lambakan hasil ketika pandemik.
Ini kerana penutupan sektor ekonomi memberi kesan kepada mereka untuk memasarkan produk.
Bagi usahawan nanas, Mohd Mazlan Khairul yang sudah 15 tahun dalam pertanian komoditi itu, berharap agar kerajaan memberi subsidi anak benih pada Bajet 2022.
Katanya anak benih nanas MD2 kini berharga RM1.50 setiap satu.
"Faktor masalah kepada penanam nanas pada musim COVID-19 ini adalah lambakan buah, iaitu tidak laku.
"Kedua bahan pertanian mahal dan kita mahu bertukar kepada jenis lain juga mahal kerana benih MD2 ini mahal.
"Harapan saya penanam nanas ini diberikan subsidi benih seperti MD2 untuk bersaing dengan petani lain.
"Ketika pandemik COVID-19, harga pasaran ...kalau sekatan pendemik itu pasaran jatuh 3 kali ganda lebih rendah dan pulangan tidak berbaloi," katanya.
Isu kenaikan harga mentah turut dirasakan usahawa cendawan, Noor Saiful Amri Suloh.
Katanya selama empat bulan dia berhadapan dengan masalah stok habuk kayu getah bagi penghasilan bongkah cendawan kerana kilang penghasilan habuk kayu itu ditutup.
"Isu di saat pandemik ini, fokus kami sebagai penanam cendawan adalah menghantar bekalan kepada kedai makan seperti kedai Tom Yam.
"Ketika pandemik, kebanyakkan kedai Tom Yam tutup, jadi ada berlaku lambakan.
"Usahawan seperti saya sendiri buat produk hikiran, kerepek cendawan, pekasam cendawan, serunding cendawan untuk elak lambakan saat pandemik tempoh hari.
"Bagi menggalakkan golongan belia berdepan cabaran akan datang, belanjawan kali ini kerajaan boleh sediakan mekanisme melahirkan lebih ramai golongan belia berminat dalam sektor pertanian dan program mentor menti ini diperluaskan seluruh negara bagi meramaikan usahawan sektor ini dan elak kebergantungan pada masa akan datang.
"Isu kenaikan harga barang berlaku di semua sektor pertanian, macam saya tanam cendawan tempih hari ada masalah stok habuk kayu getah hingga 4 bulan kilang tutup.
"Inisiatif yang kami lakukan dengan Lembaga Nanas adalah menggunakan sisa nanas dari daun dan batang untuk ganti habuk kayu getah dan ianya berhasil," katanya.
Bagi usahawan kelapa matag, Mohamad Yahya Sulaiman, harapkan agar Bajet 2022 melihat semula syarat pemberian peruntukan kepada pekebun kecil.
Katanya syarat ketat seperti penanaman melebihi empat ekar menyebabkan pekebun kecil sepertinya tercicir daripada mendapatkan bantuan kerajaan.
"Buat masa ini ketika pandemik ini, masalah bagi pekebun kecil yang ada kebun seluas 2 atau 3 ekar satu nama.
"Masalahnya adalah kos penyelenggaraan kebun seperti baja racun kos meningkat. Kita tak dapat apa bantuan daripada kerajaan.
"Kerajaan hanya sediakan bajet untuk pekebun berskala besar iaitu 4 hingga 8 ekar ke atas.
"Bagi pendapat saya, sebaikknya kerajaan sediakan bajet ikut ekar. Contoh seekar RM1,000 jadi kita boleh tampung kos ini," katanya.
Harapan yang sama disuarakan usahawan kecil kelapa sawit Mohd Asri Ismail.
"Kelapa sawit mainkan peranan penting, harga kelapa sawit tinggi tetapi peralatan seperti baja, racun dan penyelenggaraan makin tinggi dipasaran.
"Maknanya kenaikan harga dapat tampung sikit sahaja beban.
"Begitu juga dengan bantuan pertanian, syaratnya ketat dan susah untuk kita mohon.
"Petani kecil ini mempunyai 2 atau 3 ekar tanah sahaja. Syarat 10 ekar utuk bantuan baja dan sebagainya itu tidak dapat pada kami.
"Saya harap syarat itu dilonggarkan, itu yang penting untuk mereka medapat bantuan. Kalau beli sendiri tidak balik modal jadi harap bajet kali ini ada perubahan," katanya.
Usahawan pertanian ini berharap agar suara mereka didengari oleh pihak yang merancang Bajet 2022.
Sektor pertanian antara sektor penting dalam penghasilan 'security food' bagi menjamin bekalkan makanan negara, daripada terus bergantung kepada hasil import.