Bajet 2018 satu hikmah buat golongan pertengahan, mereka yang berkeluarga

Dania Zainuddin
Oktober 27, 2017 21:57 MYT
Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik terhadap pembentangan bajet yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini. - Gambar fail
Rata-rata golongan berkeluarga dan pertengahan menyambut baik inisiatif yang digariskan dalam Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati antara insentif yang mendapat perhatiangolongan itu ialah pengurangan cukai pendapatan, penghapusan beberapa tol, pemerkasaan wanita dan bantuan anak yang lahir pada 2018.
Menurut Abdul Manaf Mohamad, pembentangan bajet kali ini sememangnya memberi insentif kepada golongan menengah di bandaraya Kuala Lumpur.
KLIK UNTUK LIPUTAN LANJUT BAJET 2018
"Pengurangan cukai pendapatan ini boleh memberi pulangan kepada kami sekitar RM300 ke RM1,000 untuk perbelanjaan harian kami," katanya.
Bagi Nur Syahirah Abdul Halim pula, beliau gembira dengan tumpuan yang diberi dalam usaha pemerkasaan golongan wanita.
"Wanita yang bersalin kini boleh mendapat 30 hari tambahan. Dengan jumlah 90 hari cuti, kita boleh berehat dan lebih masa untuk pulih," katanya.
Sementara bagi Nurul Syazrin, bantuan yang diberi terhadap anak yang lahir pada 2018 mampu membantu meringankan beban pasangan muda.
"Mungkin pasangan yang baharu kahwin ini masih belajar hendak menguruskan kewangan dan dengan bantuan anak baru lahir 2018 ini, sememangnya amat membantu mereka.
"Selain itu, pemansuhan tol di Shah Alam itu turut menarik perhatian kerana ia amat meringankan beban rakyat, terutamanya mereka dari Shah Alam," katanya.
Bagi Shahadan Firman Shah Putra pula, beliau mengakui pemansuhan beberapa tol ini bakal membolehkannya ada simpanan yang lebih tinggi.
#anak #bajet #Bajet 2018 #Budget 2018 #Najib Razak #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #reaksi
;