Bajet 2017 untuk pastikan ekonomi kekal cergas, kukuh - PM

Bernama
Oktober 20, 2016 00:02 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan dokumen Bajet 2017 pada persiapan akhir bajet berkenaan di Kementerian Kewangan. - Foto BERNAMA
Bajet 2017 akan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan asas-asas ekonomi negara kekal cergas dan kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kenyataan diterbitkan dalam laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, Najib berkata intipati dalam bajet itu, akan termasuk dasar mengenai sasaran-sasaran defisit, langkah-langkah untuk memacu aktiviti ekonomi, serta usaha dalam memastikan sistem kewangan jangka panjang yang sihat.
"Kami komited untuk menjadi lebih berhemah dan kreatif dalam mengoptimumkan perbelanjaan, untuk memastikan penyampaian kepada rakyat. Dan kami komited menyediakan Bajet yang komprehensif, inklusif yang akan mengotakan janji-janji kami kepada rakyat," katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan turut menyangkal andaian daripada beberapa pengulas bahawa bajet tahun ini akan menjadi bajet 'Pilihan Raya Umum'.
"Ini adalah bajet komitmen. Pihak lain mungkin mengutamakan faedah politik jangka pendek terlebih dahulu, tetapi kerajaan ini tidak akan berbuat demikian," tegas perdana menteri.
Mengambil perhatian bahawa pada tahun ketika ekonomi-ekonomi maju dijangka mencatatkan pertumbuhan hanya 1.6 peratus, ekonomi Malaysia berada di landasan untuk tumbuh antara 4 dan 4.5 peratus, perdana menteri berkata, langkah-langkah diperkenalkan dalam bajet tahun lepas telah membantu memastikan ekonomi kekal cergas dan terus mencatatkan pertumbuhan.
Bagi tahun ini, katanya bajet akan terus memastikan petunjuk ekonomi - seperti kadar inflasi, kadar pertumbuhan dan kadar hutang - kekal kukuh dan cergas, mencerminkan asas-asas teras ekonomi.
"Disebalik tekanan fiskal, inflasi telah dipastikan kekal pada kadar rendah, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya berada dalam keadaan lebih baik ketika ini berbanding setahun lalu. Malah, kita kini adalah negara berpendapatan sederhana tinggi.
"Kami akan terus mengotakan janji-janji kami kepada rakyat dalam cara yang adil dan inklusif. Kami berada di landasan yang betul, dengan ekonomi dijangka bertambah baik lagi pada 2017 dengan pertumbuhan dijangka meningkat kepada 5 peratus," katanya.
Pada masa sama, Najib berkata kerajaan sedar bahawa terdapat pelbagai cabaran yang perlukan perhatian segera.
Najib berkata kerajaan perlu mempunyai dasar-dasar yang berupaya menangani perubahan struktur jangka panjang, dan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan taraf hidup golongan Bawah 40 serta Pertengahan 40.
"Fokus kami adalah untuk ekonomi rakyat dan ekonomi awam. Seluruh kegembiraan dan kebajikan rakyat menjadi objektif utama," katanya.
Sementara itu, perdana menteri berkata beliau akan membuat pengumuman lagi mengenai infrastruktur, pembangunan, pengangkutan awam dan kesihatan, insentif fiskal bagi perusahaan kecil dan sederhana, dan modal insan dan latihan kemahiran.
"Selaras dengan komitmen bagi rakyat didahulukan; kami mahu mencergaskan pertumbuhan ekonomi, memperkasa modal insan, memacu pendidikan, meningkatkan jaringan perhubungan, memperkukuhkan pembangunan inklusif dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam".
Untuk tujuan itu, katanya fokus utama Bajet 2017 adalah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat; menggalakkan latihan peningkatan kemahiran dan keusahawanan; pengekangan peningkatan kos hidup; menyediakan lebih banyak rumah mampu milik dan dana bagi penyelenggaraan; langkah-langkah penting bagi pendidikan; dan peruntukan bagi penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.
Najib mengakhirinya dengan berkata:- "Keselamatan dan jaminan hidup semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan saya. Kami akan meningkatkan usaha kami dan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk memerangi ekstremisme dan jenayah". - Bernama
#Bajet 2017 #ekonomi #Najib Tun Razak
;