Bajet 2017 tidak perlu diubah suai buat masa ini, kata Kementerian Kewangan

Bernama
November 3, 2016 22:32 MYT
Bajet itu tidak perlu diubah suai kerana turun naik harga minyak semasa akan kekal pada paras stabil.
Bajet 2017 tidak perlu diubah suai buat masa ini kerana harga minyak dunia adalah stabil antara AS$45 dan AS$50 setong, kata Kementerian Kewangan.
Ketua Bahagian Ekonometrik, Fiskal dan Ekonomi, Dr Sivabalasingam berkata, harga minyak global adalah stabil ketika ini.
"Tahun lepas, bajet itu diubahsuai berikutan kejatuhan harga minyak kepada US$30 setong," katanya kepada pemberita selepas Dialog Pasca Bajet 2017 yang dianjurkan Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia di sini, hari ini.
Sivabalasingam berkata, ekonomi negara kini baik dan andaian untuk harga minyak adalah positif.
"Bagaimanapun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku tahun depan," katanya.
Sementara itu, Felo Ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Firdaos Rosli, sependapat dengan pandangan Sivabalasingam.
Menurutnya, bajet itu tidak perlu diubah suai kerana turun naik harga minyak semasa akan kekal pada paras stabil.
"Kita perlu melihat kepada pergerakan harian berbanding trend bulanan," katanya dengan menambah, Bajet 2017 dirangka berdasarkan harga purata minyak AS$45 setong.
Semalam, Pengerusi Taxand Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh berkata, kerajaan perlu mengubah suai bajet itu tahun depan kerana senario ekonomi mungkin tidak lagi menarik.
Veerinderjeet berkata, Bajet 2016 yang diubah suai yang diumumkan Januari lepas, sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan mendadak harga minyak global.
"Untuk 2017, jika harga minyak kekal stabil, ia adalah baik, tetapi jika iklim ekonomi tidak bertambah baik dan kutipan cukai serta hasil daripada cukai barang dan perkhidmatan terus merosot, saya berpendapat kerajaan perlu mengubahsuai bajet itu sama ada pada suku pertama atau kedua," katanya.
-- BERNAMA
#Bajet 2017 #ekonomi negara #Kementerian Kewangan
;