Bajet 2017 dijangka tumpu usaha tangani kos sara hidup rakyat

Bernama
Oktober 21, 2016 11:30 MYT
Bajet 2017 bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat,.' - Foto Bernama
Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, pada pukul 4 petang di Dewan Rakyat, hari ini berkemungkinan menumpukan usaha menangani kos sara hidup khususnya aspek perumahan, makanan dan pengangkutan yang sejajar prinsip kerajaan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'
Bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat,' Bajet 2017 itu dijangka menyenaraikan beberapa langkah dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara berikutan ketidaktentuan di peringkat global.
LAPOR LANGSUNG: Pembentangan Bajet 2017
Sejajar matlamat mutlak bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara saksama dan inklusif, bajet berkenaan turut mengetengahkan pendekatan baharu bagi memacu industri tertentu mengharungi kelembapan ekonomi global.
Industri berkenaan terjejas akibat penyusutan perdagangan antarabangsa selain tempias tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) serta ketidaktentuan global susulan penurunan harga komoditi seperti minyak mentah, mineral, minyak sawit dan getah.
Malah, pihak Kementerian Kewangan turut mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai pelbagai isu serta saranan bagi Bajet 2017 selain mempelawa pembabitan orang ramai dengan berkongsi pandangan serta idea.
"Proses perancangan bagi Bajet 2017 itu melibatkan beberapa langkah bagi memacu ekonomi berteraskan matlamat untuk mensejahterakan rakyat secara saksama dan inklusif," kata Najib pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lepas.
Perdana Menteri turut membangkitkan keadaan ekonomi negara, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatat pertumbuhan 5.0 peratus pada tahun lepas dan mengatasi negara serantau seperti Indonesia (4.8 peratus), Thailand (2.8 peratus) dan Korea Selatan (2.6 peratus).
Ekonomi Malaysia pada separuh pertama tahun ini juga berkembang pada kadar 4.1 peratus dan diunjur meningkat pada kadar 4.0-4.5 peratus bagi 2016.
Menerusi Bajet 2016, sejumlah RM267.2 bilion diperuntukkan berbanding RM260.7 bilion pada 2015.
Pada 28 Jan, 2016, kerajaan bertindak melakukan pengubahsuaian Bajet 2016 yang membabitkan aspek inisiatif dan peruntukan yang diluluskan Parlimen. - Bernama
##Bajet2017 #Bajet 2017 #Bajet2017 #Najib Razak
;