Bajet 2017 bawa berita gembira kepada Lafarge Malaysia

Bernama
November 12, 2016 09:07 MYT
Legrand berharap Malaysia akan membina lebih banyak jalan konkrit di negara ini kerana ia kurang memerlukan penyenggaraan dan kos tenaga kerja rendah.
Bajet 2017, yang akan terus memberikan keutamaan kepada banyak program prasarana, membawakan berita gembira kepada pemain pembinaan utama, Lafarge Malaysia Bhd, kerana ia bermakna syarikat itu akan terus kekal aktif dalam industri pembinaan tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Thierry Legrand berkata cadangan bajet itu yang mengumumkan lebih banyak projek melibatkan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT), lebuh raya dan pembinaan rumah mampu milik bagi merangsang industri pembinaan dalam tempoh mencabar ketika ini, akan membuka laluan bagi syarikat itu untuk menyertai penawaran tender dalam bulan-bulan akan datang.
"Sepantas mana ia akan dilaksanakan adalah penting kerana kami tahu ia adalah keperluan sebenar kepada rakyat," kata Legrand kepada Bernama selepas majlis 'Afternoon with Lafarge: Sustainability by Design' pada Jumaat.
Sementara itu, Legrand berharap Malaysia akan membina lebih banyak jalan konkrit di negara ini kerana ia kurang memerlukan penyenggaraan dan kos tenaga kerja rendah berbanding jalan bitumen (asfalt).
Beliau berkata jalan konkrit lebih tahan lama dan berdaya maju terutamanya di kawasan rendah yang mudah terjejas dengan banjir, serta, kenderaan berat dan trafik sesak. Ia juga akan memastikan keselamatan yang lebih baik kepada orang ramai di jalan raya.
"Ini adalah peluang bagi negara, kerana ia bermakna akan kurang bitumen diimport. Bagi kos, ia tidak semestinya lebih mahal kerana terdapat penyelesaian yang membolehkan jalan dibina pada kos yang hampir sama, hasil daripada reka bentuk dan teknologi canggih.
"Ini, bagaimanapun, akan bergantung kepada keperluan dan jenis jalan kerana sesetengah mungkin memerlukan struktur lebih kukuh dan sesetengahnya mungkin tidak," katanya.
Ketika ini, peratusan jalan konkrit di Malaysia adalah kecil berbanding lebih 50 peratus di Thailand dan Filipina.
Selain itu, katanya, syarikat tersebut juga menggalakkan penggunaan agilia, penyelesaian konkrit pemadatan bagi bangunan, yang boleh mewujudkan hasil yang lebih baik berbanding penggunaan konkrit biasa dalam industri.
"Justeru, ia tidak memerlukan banyak tenaga kerja yang boleh membantu menangani kekurangan buruh asing dalam industri pembinaan," katanya.
Terdahulu, bercakap pada majlis tersebut, Legrand menggesa arkitek, jurubina, jurutera dan pelajar Malaysia untuk menyertai Anugerah International LafargeHolcim Ke-5, pertandingan penting bagi reka bentuk terbaik.
"Objektifnya adalah untuk mendapatkan projek-projek utama profesional, serta, idea-idea bernas daripada generasi akan datang yang menggabungkan penyelesaian pembinaan mampan dengan kecemerlangan seni bina.
"Kami menyokong anugerah ini dan berharap pemenang akan memberi inspirasi kepada pemain industri tempatan untuk membangunkan hasil terbaik bagi menyahut cabaran dalam industri bangunan dan pembinaan," kata Legrand.
Pertandingan itu yang berlangsung dari Julai, 2016 hingga Mac 2017 anjuran LafargeHolcim Foundation, akan menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$2 juta. -- BERNAMA
#Bajet 2017 #bisnes #Lafarge Malaysia Bhd