Bajet 2016 tidak mampu pulihkan nilai ringgit - DAP

Astro Awani
Oktober 25, 2015 20:09 MYT
LIM: Adakah BN akan mengakui Bajet 2016 gagal jika nilai ringgit tidak kembali ke paras RM3.70-RM3.80 berbanding AS$1 dari RM4.30 sekarang?
DAP mendakwa Bajet 2016 yang dibentangkan pada Jumaat tidak menyenaraikan langkah-langkah terbaik untuk memulihkan kembali nilai ringgit yang menyaksikan prestasi mata wang itu menjadi paling teruk terjejas di Asia.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada Barisan Nasional akan mengakui bajet yang dibentangkan itu gagal jika nilai ringgit tidak dipulihkan.
"Adakah BN akan mengakui Bajet 2016 gagal jika nilai ringgit tidak kembali ke paras RM3.70-RM3.80 berbanding AS$1 dari RM4.30 sekarang?" soalnya ketika berucap pada konvensyen DAP Pahang di Bentong pada Ahad.
DAP dan parti pembangkang lain menyalahkan isu kewangan terkini negara sebagai faktor yang menyumbang kepada kemerosotan ekonomi dan kejatuhan ringgit.
Lim yang juga ahli Parlimen Bagan dan ketua menteri Pulau Pinang, juga mempersoalkan bagaimana Putrajaya merancang untuk menangani hutang Kerajaan Persekutuan yang meningkat daripada RM266 bilion pada akhir 2007 kepada RM627.5 bilion pada Jun tahun ini.
"Jika liabiliti luar jangka yang dimasukkan, hutang Kerajaan Persekutuan dijangka mencecah RM800 bilion menjelang akhir 2016.
Ini bermakna, hutang kerajaan persekutuan akan meningkat hampir 3 kali ganda dalam tempoh 9 tahun," katanya.
##Bajet2016 #BN #DAP #Lim Guan Eng #mata wang #ringgit
;