Bajet 2016 dibentang pada 23 Okt - Najib
Bernama
Jun 15, 2015 13:12 MYT
Jun 15, 2015 13:12 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Bajet 2016 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 23 Okt ini dengan fokus memperkukuh pertumbuhan, memperluas keterangkuman dan memastikan kemampanan fiskal.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Bajet 2016 akan menjadi bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentang di Parlimen pada 21 Mei.
"Sasaran makro dan strategi meluas yang digariskan di bawah RMK11 akan direalisasikan melalui bajet tahunan.
"Bajet tahunan merupakan blok kritikal ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya pada Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.
Melahirkan keyakinan beliau untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita USD15,000, Najib berkata kerajaan perlu mengurus pengagihan kekayaan ini dengan cara yang adil demi kepentingan rakyat dan pendekatan modal ekonomi.
"Bergerak ke hadapan, pendekatan ini akan menjadi tulang belakang bagi merangka bajet tahunan kita," katanya.
Mengimbas kembali Bajet 2015, Najib berkata daripada 91 'touch point' yang menjadi intipati bajet itu, lapan telah disempurnakan, 69 masih di peringkat pelaksanaan dan 14 lagi dalam perancangan yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Satu daripada inisiatif yang selesai ialah pemberian diskaun sebanyak 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Mac, yang telah memanfaatkan 49,968 peminjam untuk melangsaikan pinjaman, katanya.
Antara inisiatif dalam proses pelaksanaan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat-Taiping, Perak; pembiayaan usahawan; pinjaman mikro kepada penjaja dan peniaga kecil; pembinaan 32 klinik 1Malaysia dan penambahbaikan bekalan air dan elektrik di luar bandar, katanya.
Mengenai majlis konsultasi bajet hari ini, Najib yakin ia dapat menjana idea bernas dan merancakkan lagi usaha-usaha transformasi dan pembangunan negara supaya mencapai hasrat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi serta menjamin kesejahteraaan rakyat.
"Majlis tahunan ini adalah satu platform yang penting bagi saya, di mana kerajaan dan sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan dapat memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan isu-isu semasa dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh demi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.
Najib berkata setiap isu yang dibangkitkan dan cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi serta diberi pertimbangan sewajarnya dalam penyediaan Bajet 2016.
"Saya tidak sabar untuk menerima cadangan atau idea mengenai inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup Kumpulan Bawah 40 (B40).
"Saya juga mahu sektor swasta bekerjasama dengan sektor awam untuk terus membangun dan mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memanfaatkan tenaga kerja kurang mahir kita," katanya.
Beliau menambah hujahan itu meliputi spektrum makro, sektor dan isu sosial yang luas untuk persediaan bajet dan mesyuarat kumpulan sasaran yang akan diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.
Beliau menggesa setiap orang untuk bekerja bersama-sama dalam semangat 1Malaysia bagi menjana pertumbuhan mampan dan kemakmuran yang berterusan demi kebaikan rakyat dan negara.