BAJET 2015: Pertemuan dengan pemain industri kreatif minggu depan - Shabery Cheek

Astro Awani
Oktober 11, 2014 19:13 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri kreatif bagi membincangkan mengenai peruntukan RM100 juta yang diluluskan. - Gambar Fail
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri kreatif bagi membincangkan mengenai peruntukan RM100 juta yang diluluskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dalam bajet 2015 pada Jumaat.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya akan memanggil semua pihak terbabit minggu depan bagi mencari kaedah terbaik bagi menyalurkan peruntukan berkenaan.
Beliau ditemui selepas menyaksikan program sukan hari keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Pantai Peranginan Telok Kalong di Kemaman.
Ahmad Shabery berkata, mungkin pada masa ini terdapat industri kreatif yang merudum dari segi kutipan kerana hasilnya yang kurang berkualiti dan kementerian itu melihat bagaimana untuk membantu.
Pada masa sama terdapat filem yang dihasilkan menggunakan bajet murah namun mendapat kutipan besar dan ada filem yang mahal tidak mendapat sambutan
Beliau berkata, sekiranya ada pengusaha industri itu yang berminat untuk membuat filem, kementerian itu akan melihat dari pelbagai aspek termasuk keseluruhan bentuk isi kandungannya.
Menurutnya, apa yang penting ialah para pengusaha kreatif perlu melihat nilai-nilai dan bentuk kandungan yang boleh membina keharmonian sesebuah negara.
##Bajet2015 #Ahmad Shabery Cheek #Kementerian Komunikasi dan Multimedia
;