Baik, buruk pengecilan penjawat awam - Cuepacs

Hasimi Muhamad
Mac 13, 2019 13:59 MYT
Menurut Azih produktiviti dan keberkesanan penjawat awam perlu diukur berdasarkan bebanan kerja dan tanggungjawab yang diberikan dalam memastikan pelanggan sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik. - Gambar fail
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat cadangan untuk mengecilkan jumlah penjawat awam disifatkan mempunyai kesan positif dan negatif dalam tempoh jangka masa panjang.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata ini kerana penjawat awam yang bakal dipindahkan ke syarikat swasta berdepan dengan risiko tersendiri berikutan kebanyakkan syarikat di sektor tersebut mengutamakan keuntungan.
Menurutnya, golongan pekerja yang terlibat dengan dasar penswastaan sebelum ini turut tidak terlepas daripada risiko dibuang kerja.
“Kesan kita tidak dapat lihat lagi kerana perkara itu belum berlaku tetapi apa yang selalu saya sebutkan bahawa kesan kepada penswastaan yang dahulu sehingga kini masih ada lagi (pekerja) yang merayu pencen dan pendapatan mereka kecil, kehidupan susah dan sebagainya.
“Kita berjaya dari segi penswastaan apabila ada pihak yang mengambil alih dan mereka (pekerja) memperoleh kekayaan selepas beralih kepada sistem di bawah swasta.
“Kemudian mereka dibuang kerja kemungkinan berlaku pengecilan dalam jumlah perkhidmatan swasta kerana industri tersebut mahu memaksimakan keuntungan sehingga menyebabkan ada yang kehilangan pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat semalam yang mahu melakukan pengecilan penjawat awam.
Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir cadangan itu tidak bererti berlaku pengurangan peluang pekerjaan dengan memberi contoh dasar penswastaan yang diperkenalkan pada 1983 sebelum ini masih lagi relevan dan boleh digunakan pada masa ini.
Mengakui bahawa perkhidmatan sektor awam di Malaysia mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, Azih berpendapat sebenarnya saiz penjawat awam masih kecil jika kerajaan tidak mengambil kira sektor perkhidmatan penguruan dan keselamatan.
“Sebab itu kami melihat saiz perkhidmatan awam yang ada hari ini sebenarnya tidak mencukupi tetapi kerajaanmengatakan bilangannya terlalu besar.
“Bilangan terlalu besar ini mengambil kira (perkhidmatan) yang wajib seperti guru, polis dan tentera. Sekiranya perkhidmatan ini boleh diasingkan sudah tentulah saiz penjawat awam masih kecil dan tidak sampai 600 ribu,” katanya.
Ditanya bagaimana kakitangan awam boleh menambah nilai terhadap budaya kerja sekarang, Azih berkata “pertamanya kita kena melihat sumber manusia bukan sebagai mesin. Bila kita bebankan mereka dengan tugas dan gaji yang tidak bertambah mereka akan menghadapi stress.”
Suslan itu, tegas Azih produktiviti dan keberkesanan penjawat awam perlu diukur berdasarkan bebanan kerja dan tanggungjawab yang diberikan dalam memastikan pelanggan sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik.
“Kita sedia maklum bahawa (peranan) sektor kerajaan adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat. Kalau mereka di sektor swasta, perkhidmatan yang diberikan itu perlu dibayar.
“Jadi rakyat mahukan perkhidmatan terbaik daripada kerajaan melalui perkhidmatan awam,” katanya.
Setakat ini dianggarkan jumlah anggota perkhidmatan awam adalah sekitar 1.62 juta berbanding jumlah penduduk Malaysia seramai 32 juta orang.
#cuepacs #Dasar Penswastaan #Datuk Azih Muda #penjawat awam #produktiviti #rakyat #sektor awam #sektor kerajaan #sektor swasta #Tun Dr Mahathir Mohamad
;