Baharom Embi dilantik pengerusi baharu CBP
Astro Awani
Oktober 31, 2021 21:42 MYT
Oktober 31, 2021 21:42 MYT
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) pada Ahad mengumumkan pelantikan Datuk Baharom Embi sebagai Pengerusi yang baharu berkuat kuasa 30 Oktober 2021.
CBP dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, Baharom mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri kewangan yang dapat memacu CBP ke satu peringkat yang lebih tinggi.
"Beliau merupakan graduan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dan Kewangan dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Sistem Sokongan Keputusan) dari New Hampshire College, Manchester, Amerika Syarikat.
"Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik sebagai Pengerusi CBP adalah sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional (TEKUN) sejak Februari 2015.
"Beliau juga pernah berkhidmat dengan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dengan pengalaman selama 27 tahun dengan memegang beberapa jawatan di peringkat pengurusan," jelas kenyataan itu.
CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950 dan pada September 2014 telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Bank Negara Malaysia sebagai sebuah co- opbank.
CBP mempunyai 29 buah cawangan termasuk outlet di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
CBP menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan patuh Syariah seperti Pembiayaan Individu, Koperasi serta Korporat, Ar-Rahnu, Deposit, Syer Keanggotaan serta Takaful dan Wasiat.