Badan perniagaan Jerman anjur pelbagai acara papar Malaysia

Bernama
Ogos 15, 2015 21:53 MYT
Antara acara penting bagi komuniti perniagaan Jerman adalah penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN kali keempat di Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini.
Kalangan komuniti perniagaan Jerman, yang ternyata berminat dengan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada akhir 2015, juga berhasrat untuk turut sama bertapak dalam pasaran bersepadu yang didiami 600 juta penduduk itu.
Minat itu diterjemahkan menerusi penganjuran beberapa program akan datang yang bertumpukan kepentingan rantau itu selain turut mengetengahkan Malaysia sebagai pintu masuk terhadap pasaran berkenaan.
Pandangan itu disuarakan Persatuan Perniagaan Asia Pasifik (OAV) yang berpangkalan di Hamburg dan mewakili rangkaian syarikat Jerman yang beroperasi atau kepentingan dengan rantau itu.
Ia turut menyifatkan penganjuran pelbagai acara itu dapat memupuk hubungan lebih akrab antara perniagaan Jerman dengan Malaysia serta rantau ASEAN itu secara amnya.
Antara acara penting bagi komuniti perniagaan Jerman adalah penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN kali keempat di Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini.
Acara sehari anjuran bersama Dewan Perdagangan dan Perindustrian EU-Malaysia dan Majlis Perniagaan EU-ASEAN itu, memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dengan pemimpin perniagaan komuniti ASEAN.
OAV turut menyifatkan penganjurannya sebagai forum utama bagi dialog perniagaan ASEAN-EU.
Selain itu, beberapa acara perniagaan yang melibatkan Malaysia turut dianjurkan di Jerman, termasuk program Hari Perniagaan Malaysia pada 9 September di bangunan Dewan Perdagangan dan Perindustrian East-Westphalia di Bielefeld.
Ia akan membincangkan pelbagai isu kepentingan bakal pelabur dan ahli perniagaan Jerman yang berminat menjalin perniagaan dengan Malaysia selain turut mengetengahkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan bermula pada 2016.
Ada kira-kira 1,000 syarikat di Rhine Westphalia Utara yang mempunyai jalinan perniagaan di Malaysia dengan anggaran 100 syarikat memiliki anak syarikat serta kilang pengeluaran di negara ini.
Acara yang turut dihadiri Presiden Dewan Perniagaan itu, Wolf D Meier-Scheuven, akan menjadi platform bagi merungkai pelbagai pertanyaan oleh syarikat Jerman mengenai Malaysia.
Barisan penceramahnya termasuk Duta Jerman ke Malaysia, Holger Michael yang akan berkongsi pandangan mengenai Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam masyarakat ASEAN.
Penceramah lain ialah Pengarah Urusan Dewan Perniagaan Jerman-Malaysia di Kuala Lumpur, Thomas Brandt dan Ketua Perancangan Strategik Korporat di Invest Selangor Bhd, Sven Schneider.
Majlis Perniagaan Asia Pasifik (APBC) juga akan menganjurkan satu lawatan delegasi perniagaan ke Malaysia dan Filipina pada 5 hingga 9 Oktober 2015 yang turut disertai Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Tenaga Jerman, Brigitte Zypries.
Ia selaras minat penggiat sektor perindustrian Jerman terhadap langkah pemodenan ekonomi Malaysia dalam usaha mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Malah, sektor berteraskan teknologi menjadi tumpuan kalangan pelabur Jerman, termasuk perusahaan yang ada tambah nilai serta teknologi serba maju.
Pihak APBC sentiasa mengemas kini butiran lawatan delegasi Jerman itu yang turut menyaksikan mesyuarat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Selain itu, ada spekulasi dalam kalangan industri Jerman mengenai kemungkinan lawatan pegawai kanan Malaysia ke Jerman, termasuk kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu pada tahun ini.
#AEC #ASEAN EU Business Summit #Jerman #OAV #RMK11
;