Azhar diingat beri komitmen penuh kepada FGV - AzwanBro

Astro Awani
September 23, 2017 08:00 MYT
AZWANBRO: Pengerusi FGV Datuk Azhar Abdul Hamid diingatkan agar memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalankan amanah menerajui Lembaga Pengarah FGV. - Gambar fail
Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Datuk Azhar Abdul Hamid diingatkan agar memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalankan amanah menerajui Lembaga Pengarah FGV.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, tanggungjawab besar itu perlu digalas bagi memastikan nasib pemegang saham dan peneroka Felda sentiasa dipelihara.
"Jikalau ada sebarang isu ataupun permasalahan maka kita harap kali ini Azhar mesti tangani sehingga selesai.
"Jangan pula dia cabut lari seperti tindakan meninggalkan MRT Corp diulangi dengan mengunakan integriti sebagai alasan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Pengerusi baharu FGV lapor diri hari ini
BACA: Zakaria perlu tunggu lebih lama berhubung keputusan siasatan dalaman FGV
Pada 8 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan perlantikan Azhar sebagai Pengerusi FGV yang baharu, menggantikan Tan Sri Isa Samad.
Pada 18 Ogos 2014, Azhar yang ketika itu memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, meletak jawatan serta-merta, susulan insiden blok konkrit jatuh dan menghempap tiga pekerja di tapak projek pembinaan landasan Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara.
Ketika itu, Azhar mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan dan membuat keputusan untuk meletak jawatan.
Sebelum itu, Azhar melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Plantation untuk mengetuai MRT Corp pada 1 September 2011, selepas kerajaan memutuskan mengambil alih hak dan pembinaan projek di Lembah Klang itu daripada Prasarana Malaysia Berhad.
#Felda #FGV #Khairul Azwan Harun #MRT #UMNO
;