Azhar Abdul Hamid kembali ke MRT Corp sebagai pengerusi
Faris Danial Razi
Mei 27, 2021 20:37 MYT
Mei 27, 2021 20:37 MYT
KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi berkuat kuasa 11 Mei lalu.
Atas lantikan tersebut, ia membawa semula Azhar ke syarikat yang pernah diterajuinya sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama dari tahun 2011 ke 2014.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim dalam satu kenyataan berkata, Azhar akan membawa bersama pengalaman luasnya di dalam industri yang akan membantu memajukan MRT Corp pada masa hadapan.
“Sebagai CEO MRT Corp yang pertama, pengalaman dan pengetahuan Datuk Wira Azhar adalah sangat bernilai dalam pembangunan Projek Rapid Transit System di antara Johor Bahru-Singapura serta Projek MRT3 Laluan Lingkaran, dan pada waktu yang sama, dalam menyiapkan MRT Laluan Putrajaya,” jelasnya.
Selepas meninggalkan MRT Corp, Azhar telah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sd Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation, Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Berhad.
Azhar sebelum ini merupakan bekas pengerusi FGV Holdings Sdn Bhd dari 2017 hingga April lalu.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pernas International Holdings Berhad dari 2001 hingga 2002.