AYEC jadi platform kondusif bagi usahawan muda ASEAN: Matrade

Bernama
Julai 30, 2016 21:44 MYT
DZULKIFLI: Acara khusus sepenuhnya untuk usahawan muda ini pertama kali diadakan oleh mana-mana anggota ASEAN.
Karnival Usahawan Muda ASEAN 2016 (AYEC 2016) berjaya menyediakan platform yang kondusif bagi usahawan muda melabur dalam pemindahan pengetahuan dan meningkatkan rangkaian perniagaan mereka di rantau ini, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata acara khusus sepenuhnya untuk usahawan muda ini pertama kali diadakan oleh mana-mana anggota ASEAN.
"Saya amat berbangga Malaysia menjadi negara pertama mengadakan AYEC. Saya berharap acara ini akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan dengan ekspo, forum dan anugerah perniagaan yang diadakan dalam dua hari di bawah satu bumbung, AYEC telah berjaya menyediakan platform untuk usahawan muda kita belajar daripada ketua-ketua industri dari seluruh ASEAN," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada akhir acara dua hari itu.
Acara berkenaan telah menghimpunkan usahawan muda dari 10 negara ASEAN, bersatu di bawah semangat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
AYEC 2016 diadakan dalam usaha proaktif Malaysia memperjuangkan agenda usahawan muda dan memberi tumpuan kepada unsur-unsur utama yang penting kepada pembangunan usahawan muda ASEAN.
Unsur-unsur ini termasuk pendigitalan dan automasi, syarikat permulaan dan ekosistem e-dagang, peningkatan perdagangan intra-ASEAN, akses alternatif kepada pembiayaan, sektor keutamaan ASEAN dan menyemai amalan terbaik dalam persekitaran perniagaan.
Dianjurkan bersama oleh Matrade, Majlis Usahawan Muda ASEAN dan Persatuan Usahawan Muda ASEAN Malaysia (MAAYE), AYEC 2016 adalah inisiatif sektor awam-swasta untuk usahawan muda sejak kemasukan golongan muda dalam bidang keusahawanan di bawah teras ekonomi di bawah AEC.
Pengasas MAAYE Syed Nabil AlJefri berkata karnival berkenaan merupakan platform berguna bagi mempromosikan hubungan antara usahawan muda dalam menyumbang kepada pasaran tunggal.
"Selain itu, karnival ini juga berfungsi sebagai permulaan bagi golongan usahawan muda memacu dan terus menyumbang dalam inovasi, kreativiti dan daya saing keusahawanan," katanya.
AYEC 2016 yang disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade pada 29 dan 30 Julai, 2016.
Mesyuarat agung tahunan pertama Majlis Usahawan Muda ASEAN juga diadakan di luar acara karnival hari ini.
#Dzulkifli Mahmud #Karnival Usahawan Muda ASEAN 2016 (AYEC 2016) #Matrade
;