Axiata lantik Shahril Ridza sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

Bernama
November 29, 2021 11:51 MYT
Axiata menanti-nantikan pengurusan Shahril dalam membimbing kumpulan bagi memberikan nilai yang lebih besar sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan boleh diharap kepada pelanggan, komuniti, negara, pengawal selia dan pelabur.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd melantik Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata Shahril, 51, kini berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Malaysia Airlines Bhd dan Malaysia Aviation Group Bhd, yang mana beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Lembaga Pengarah.
"Beliau merupakan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd dari 20 Ogos 2018 hingga 19 Ogos 2021, yang mana beliau merombak strategi pelaburan dana kekayaan berdaulat negara sejajar dengan mandat untuk menghasilkan pulangan yang lebih tinggi dan lebih mampan.
"Sebelum itu, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dari 16 April 2013 hingga 18 Ogos 2018, selepas berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) lebih kurang tiga tahun," katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, syarikat itu menanti-nantikan pengurusan Shahril dalam membimbing kumpulan bagi memberikan nilai yang lebih besar sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan boleh diharap kepada pelanggan, komuniti, negara, pengawal selia dan pelabur.
"Dengan revolusi digital yang belum pernah berlaku sebelum ini melanda Asia, Axiata secara aktif meletakkan kedudukannya untuk mengatasi cabaran industri dan makroekonomi bagi memacu pertumbuhan mampan merentas pasaran kami dan menjadi 'Juara Digital Generasi Akan Datang' menjelang 2024.
"Dalam perjalanan kalis masa depan ini, sambil kami berpandukan keputusan pelaburan yang rumit, melaksanakan pengoptimuman portfolio dan berusaha untuk meningkatkan penciptaan nilai, kami bertuah kerana memiliki Shahril bagi mengukuhkan lagi barisan ahli lembaga pengarah kami yang terkemuka," katanya.
-- BERNAMA
#AXIATA #Shahril Ridza Ridzuan #Bursa Malaysia #Khazanah Nasional