Axiata kurangkan capex 2023 kepada RM6.8 bilion

Bernama
Ogos 29, 2023 17:44 MYT
Axiata Group Bhd menjangkakan perbelanjaan modalnya (capex) untuk tahun ini rendah sedikit pada sekitar RM6.8 bilion berbanding RM7.1 bilion yang diumumkan awal Februari. - Gambar fail/Reuters/Samsul Said
KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd menjangkakan perbelanjaan modalnya (capex) untuk tahun ini rendah sedikit pada sekitar RM6.8 bilion berbanding RM7.1 bilion yang diumumkan awal Februari, memandangkan persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Vivek Sood berkata kumpulan itu bersikap agak berhati-hati dalam beberapa pasaran, yang mana situasi makro semasa tidak begitu baik.
"Saya rasa berita positifnya ialah semua pengendali mengambil pandangan yang sama dalam pasaran tersebut. Tumpuan kami tertumpu pada pengewangan aset yang kami ada berbanding ke arah mod pelaburan tetapi sudah tentu, akan ada peluang," katanya kepada pemberita selepas taklimat maya keputusan kewangan separuh pertama kumpulan itu hari ini.
Katanya, Axiata juga akan memantau pembangunan ekosistem 5G di negara ini khususnya mengenai kemungkinan yang akan datang, yang seterusnya mampu memberi implikasi kepada kumpulan.
Mengenai pelaburan strategik masa depan, Vivek berkata kunci kira-kira kumpulan telah diregangkan.
"Akan ada cabaran dalam pelaburan masa depan kumpulan yang memerlukan kami meregangkan sedikit kunci kira-kira kami. Jadi, kami akan bersikap konservatif dalam hal ini dan melihat lebih banyak aliran tunai organik sebagai cara pelaburan semula atau melihat penyertaan pelabur luar dalam beberapa perniagaan," katanya lagi.
Persekitaran persaingan yang bertambah baik, usaha berterusan oleh syarikat pengendali untuk beroperasi dalam persekitaran makro yang mencabar dan tumpuan kepada pertumbuhan, ditambah pula dengan penskalaan semula kos telah membawa kepada hasil yang kukuh dan margin yang stabil pada separuh pertama 2023.
"Penjanaan tunai, kunci kira-kira yang lebih baik serta capex bagi mengejar peluang pertumbuhan telah menjadi tumpuan semasa separuh pertama 2023 dan akan kekal sedemikian sepanjang tahun ini," katanya.
"Walaupun keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti yang dilaporkan mungkin kelihatan terjejas dengan sumbangan yang lebih rendah daripada CelcomDigi, kemerosotan bukan tunai serta kerugian cukai Ncell termasuk persekitaran makroekonomi yang mencabar, pertumbuhan, prestasi operasi yang kukuh dan penjanaan tunai menyediakan kedudukan yang mampan terhadap kemunduran sekali sahaja ini.
"Kami menjangkakan kumpulan akan menyampaikan petunjuk prestasi utama dan dividen untuk tahun ini," katanya lagi.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #AXIATA #kerugian bersih #tahun kewangan
;