Axiata analisis kemungkinan kesan penggabungan Idea-Vodafone India

Bernama
Mac 20, 2017 21:24 MYT
Kenyataan Axiata itu merujuk kepada pengumuman syarikat bersekutu 19.9 peratusnya, Idea, kepada National Stock Exchange of India Ltd dan Bombay Stock Exchange Ltd hari ini.
Axiata Group Bhd sedang menganalisis semua kemungkinan kesan daripada cadangan penggabungan Idea Cellular Ltd dengan Vodafone India.
Dalam satu kenyataan hari ini, Axiata berkata, penilaian kedudukan kumpulan tersebut sebagai pemegang saham minoriti Idea adalah lanjutan daripada penilaian dan analisis berterusan mengenai portfolio pelaburan secara keseluruhannya.
Kenyataan itu merujuk kepada pengumuman syarikat bersekutu 19.9 peratusnya, Idea, kepada National Stock Exchange of India Ltd dan Bombay Stock Exchange Ltd hari ini.
Idea berkata, lembaga pengarahnya telah meluluskan skim penggabungan Vodafone India Ltd dan anak syarikat milik penuhnya, Vodafone Mobile Services Ltd dengan Idea.
Axiata berkata, langkah selanjutnya, jika ada, akan berdasarkan keputusan analisis menyeluruh berasaskan prinsip di atas yang akan memaksimumkan faedah kepada pemegang saham Axiata.
"Axiata telah menjadi pemegang saham penting dan strategik dalam Idea sejak sembilan tahun lepas.
"Seperti biasa, Axiata akan memastikan kedudukan pemegang saham ditangani secara terbaik, melalui antara lain, pengukuhan atau pembangunan industri," katanya.
Pada masa sama, Axiata juga akan memastikan kedudukan pelaburannya dalam Idea dimaksimumkan dari segi nilai dan kecairan, tambahnya. -- Bernama
#Axiata Group Bhd #Idea Cellular Ltd #Vodafone India
;