Awasi pengaliran keluar dana yang pesat dari Asia - Nazir Razak

Bernama
Jun 19, 2013 08:21 MYT
Syarikat dan kerajaan di seluruh rantau Asia perlu bertindak segera secara kolektif dan bijaksana dalam menghadapi cabaran yang bakal timbul daripada pengaliran keluar dana yang pesat, kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.
Beliau berkata, dalam beberapa minggu akan datang, mereka perlu berhati-hati terhadap semakin meningkatnya kemungkinan perubahan arah wang panas yang mengalir keluar daripada pasaran-pasaran sedang berkembang.
"Ironinya ketika ini kita bimbangkan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat.
"Perdagangan kurang risiko dan kemungkinan berakhirnya program suntikan dana menunjukkan bahaya yang jelas dan wujud sekarang," katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan CIMB Asia Pasifik 2013 di sini hari ini.
Nazir menjangkakan keadaan turun naik sementara dalam pasaran-pasaran kewangan serantau tetapi yakin ekonomi-ekonomi Asia dan sistem kewangan masing-masing berada pada kedudukan yang cukup kukuh untuk menghadapinya dan kerajaan-kerajaan telah mengambil iktibar daripada krisis kewangan Asia.
Mengenai satu perkembangan lain, beliau berkata CIMB Securities hampir menyelesaikan transformasinya menjadi sebuah platform ekuiti Asia Pasifik.
CIMB kini merupakan bank pelaburan terbesar di Asia Pasifik dengan kehadiran yang pada asasnya di Asia dan mempunyai "keupayaan glokal" yang unik, tegas beliau.
#Asia #CIMB #Nazir Razak #perbankan