Australia rakan kongsi dipercayai dalam rantaian sektor halal Malaysia - Austrade

Bernama
Ogos 31, 2022 04:05 MYT
Australia dipilih sebagai negara tuan rumah WHBC 2022 ke-14 kerana piawaian industri halalnya yang tinggi dan piawaian keselamatan makanan yang terkemuka di dunia. - Gambar hiasan/BERNAMA
MELBOURNE (Australia): Perkongsian Malaysia-Australia dalam industri halal adalah berdasarkan sikap saling menghormati dan komitmen yang kukuh terhadap piawaian dan pematuhan halal, kata Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade).
Pesuruhjaya Kanan Perdagangan dan Pelaburannya Paul Sanda berkata sejarah perkongsian kedua-dua negara, lokasi geografi di Asia dan pelbagai budaya membolehkan Australia memainkan peranan penting dalam ekonomi halal.
Justeru itu, Sanda berkata Australia telah menjadi rakan kongsi yang dipercayai dalam rantaian nilai halal global termasuk Malaysia dan ia akan terus menjadi pemain penting dalam industri halal global.
"Dalam penglibatan kami dengan kerajaan dalam pasaran majoriti Islam, kami terus memupuk hubungan yang produktif dan membuktikan komitmen Australia serta kelayakan inovasi dalam mematuhi piawaian dan pembangunan dalam sektor halal.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam usaha sama dalam ekonomi halal, meningkatkan kesedaran tentang peluang halal dalam kalangan perniagaan dan mengurangkan beberapa salah tanggapan yang mungkin wujud supaya semua pihak berkepentingan boleh mendapat manfaat daripad pasaran dianggarkan bernilai AS$2.3 trilion (AS$1=RM4.47)," katanya kepada Bernama.
Sanda berkata kelayakan Australia membekalkan produk halal bukan sahaja kepada Malaysia tetapi turut melibatkan negara OIC yang lain disokong oleh peraturan domestik yang kukuh termasuk sistem pengeluaran domestik halal, bersih dan hijau serta piawaian keselamatan makanan terkemuka dunia.
Beliau berkata perniagaan di Australia mempunyai banyak cara untuk mendapatkan pensijilan halal yang boleh menyediakan kemasukan ke pasaran pasaran Muslim.
"Pengguna Islam dan peningkatan taraf hidup yang mahu mengakses makanan berkualiti tinggi, selamat dan bersih, kosmetik, farmaseutikal dan rangkaian produk dan perkhidmatan lain.
"Menambah nilai pada jenama anda dilengkapi pensijilan halal harus menjadi perkara penting dalam proses eksport dan pengantarabangsaan sebuah syarikat," katanya bersempena 'The World Halal Business Conference Circuit 2022 (WHBC) Australia'.
WHBC 2022 ke-14 akan diadakan di luar Malaysia buat kali pertama dan ia akan berlangsung dari 1 hingga 2 September, 2022.
Australia telah dipilih sebagai negara tuan rumah kerana piawaian industri halalnya yang tinggi dan piawaian keselamatan makanan yang terkemuka di dunia.
Persidangan dan acara pameran menarik perniagaan dari seluruh dunia dengan tumpuan pada pemadanan perniagaan-ke-perniagaan komersial, peluang perdagangan dalam pasaran Muslim, pelaburan langsung asing dalam ekonomi halal global, piawaian kualiti dan rantaian bekalan serta isu logistik.
"Melalui persidangan ini, kami berharap dapat menunjukkan hubungan rapat dan hubungan antara Australia dan Malaysia serta meneroka peluang di mana kedua-dua negara boleh mendapat manfaat melalui kerjasama komersial.
"Persahabatan kami yang telah lama terjalin, dibina atas nilai bersama dan kerjasama dua hala yang kukuh terus berkembang berdasarkan rasa hormat bersama serta kepentingan bersama kami di rantau ini. Ia disokong lagi oleh kerjasama perdagangan kami yang semakin kukuh," kata Sanda.
Beliau berkata Australia kekal sebagai rakan kongsi yang kukuh dalam perdagangan halal dua hala dengan Malaysia dalam persekitaran isu dan gangguan berkaitan rantaian bekalan serta keselamatan makanan global.
Sanda juga mahu melihat lebih banyak kerjasama perniagaan dan peluang untuk peserta memahami peluang yang ditawarkan dalam sektor halal.
-- BERNAMA
#Austrade #Ekonomi Halal #malaysia-australia #rakan kongsi yang dipercayai
;