Aturan kerja fleksibel jadi keutamaan pekerja berbanding bonus prestasi

Dagang News
Disember 8, 2021 10:51 MYT
Pekerja dengan set kemahiran digital dan e-dagang akan terus berdaya, tambahan dalam bidang jualan dan pemasaran sektor FMCG. - Foto DagangNews.com
KUALA LUMPUR: Aturan kerja yang fleksibel kini menjadi keutamaan para pekerja berbanding dengan bonus prestasi yang menarik, menurut Tinjauan Gaji Tahunan Robert Walters.
Pengarah Robert Walters Malaysia dan Philippines Kimberlyn Lu berkata, menerusi tinjauan gaji tahunan yang dijalankan, sebanyak 44% calon akan menolak posisi baharu juga jika tiada fleksibiliti ditawarkan.
“Dalam persekitaran yang mana kerja dari rumah atau model kerja hybrid menjadi norma, syarikat perlu melihat kepada penyediaan fleksibiliti kerja semampu mungkin bagi menepati gaya hidup pekerja dan mempromosikan kesejahteraan.
"Meskipun gaji yang baik kekal menjadi faktor utama untuk mengekalkan pekerja, persekitaran kerja menjadi penentu yang paling penting," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Tambahnya, tinjauan gaji tahunan itu juga mendapati 63% pekerja Malaysia di posisi pertengahan dan senior yakin bahawa kemahiran mereka masih relevan untuk tempoh lima tahun, sekali gus membayangkan ruang menukar dan menambah kemahiran untuk kekal berdaya saing dalam pasaran kerja di masa depan.
Lu berkata kepentingan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan korporat diterjemahkan kepada permintaan terhadap pekerja yang mempunyai pengalaman dalam ESG dan amalan-amalan lestari.
Katanya, pengambilan kerja berhubung ESG akan menjadi kelaziman bagi memenuhi keperluan pelabur yang bertanggungjawab secara sosial, terutama dalam bidang perkhidmatan kewangan, perdagangan dan pembuatan.
"Pekerja dengan set kemahiran digital dan e-dagang akan terus berdaya, tambahan dalam bidang jualan dan pemasaran sektor FMCG.
“Pada 2022, syarikat berpengkalan di Malaysia akan terus memacu transformasi digital dan automasi. Tugas-tugas berpandukan teknologi seperti kecerdasan buatan, e-dagang dan pemasaran digital dijangka akan terus meningkat," katanya.
Tambahnya, analitik data merupakan kemahiran yang sangat dicari yang akan mendapat permintaan tinggi di semua bidang, seperti sumber manusia, pengurusan risiko, perbankan dan kewangan.
"Dalam dunia yang penuh dengan data, syarikat akan mencari para professional yang mampu menyelidik, mengurai dan mentafsir data bagi membantu syarikat membuat keputusan yang baik," katanya.
*Berita asal di DagangNews.com
#aturan kerja fleksibel #Kajian #Pekerja #persekitaran
;