ATLAS Vending lancar Sapot SME libatkan 13 PKS di seluruh negeri

Ehsan A Marisah
September 15, 2021 16:04 MYT
13 buah mesin layan diri dengan pelbagai pilihan makanan yang ditempatkan di KL Sentral. - Foto ATLAS Vending
KUALA LUMPUR: Pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar di Malaysia dan Singapura, ATLAS Vending Malaysia Sdn Bhd (ATLAS Vending) melancarkan kempen Sapot SME sempena Hari Malaysia.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik COVID-19 untuk mengembangkan perniagaan di samping menyokong produk tempatan.
Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sampingan ATLAS Vending, Amy Gan berkata, kempen itu diharapkan mampu menyokong usahawan dan meningkatkan keazaman mereka untuk terus bertahan pada saat-saat sukar ini.
“Sempena Hari Malaysia, kami di ATLAS Vending mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik ini. Kami dapati bahawa ramai usahawan tempatan terpaksa mengecilkan skop pelan perniagaan mereka, akibat masalah logistik bekalan, kos sewaan dan pengurangan waktu operasi.
“Oleh itu, kami bercadang untuk menawarkan mesin layan diri kami sebagai saluran jualan berautomasi bagi membantu meluaskan lagi jangkauan mereka. Kami memilih Sapot SME sebagai tema untuk kempen ini kerana Persatuan PKS Malaysia mendapati bahawa 100,000 PKS telah menutup perniagaan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.
“Selain itu, 50,000 lagi PKS berisiko untuk gulung tikar jika PKP 3.0 kali ini dilanjutkan lagi. Menerusi kempen Sapot SME, kami berharap untuk meraikan semangat Malaysia dengan menyokong para usahawan di seluruh negara dan keazaman mereka untuk terus bertahan,” katanya dalam Niaga AWANI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah, sebanyak 13 rakan PKS telah dipilih dari seluruh negeri dan menawarkan mereka mesin layan diri percuma selama tiga bulan.
“Kami memilih 13 rakan PKS untuk kempen ini yang setiap satunya mewakili PKS dari setiap negeri di Malaysia sebagai lambang kesatuan yang dimiliki dan menawarkan mereka mesin layan diri sebagai saluran runcit automatik. Ia akan digunakan secara eksklusif oleh setiap PKS dan akan dipenuhi dengan rangkaian produk mereka, yang merupakan produk kegemaran tempatan.
“ATLAS Vending akan menyokong mereka selama tiga bulan ke hadapan bermula Hari Malaysia iaitu pertengahan September, PKS akan dapat menggunakan mesin layan diri tanpa sewa dengan perkhidmatan pengisian semula yang percuma. Keuntungan yang diperoleh akan dinikmati sepenuhnya oleh mereka,” katanya.
Antara 13 PKS yang terlibat dalam kempen kali ialah Madina Food (Perlis), Nature's Fresh (Kedah), Yee Hup Hiong Piah (Perak), TalentCook (Pulau Pinang), TFN (Selangor), myEureka (Melaka), Rehan (Negeri Sembilan), Azhar Food (Johor), Tokey Sambal Hitam (Pahang), Anopokku (Terengganu), Akifcafe (Kelantan), Heera Enterprise (Sabah) dan Lee Fah Mee (Sarawak).
Dalam pada itu, kata Amy, maklum balas baik turut diterima pihaknya daripada PKS yang terlibat kerana ia nyata membantu menghidupkan kembali perniagaan yang sudah lama terjejas.
“Kami gembira dengan maklum balas dan semangat daripada PKS. Sebahagian besar mengalami penurunan penjualan terutamanya yang bergantung kepada pelancongan tempatan dan terkesan akibat sekatan perjalanan.
“Manakala bagi sesetengah rakan PKS yang hanya mempunyai perniagaan dalam talian dan belum pernah mencuba saluran jualan secara fizikal sebelum ini, keupayaan untuk menjual produk secara fizikal melalui mesin layan diri yang dikhaskan untuk jenama mereka yang disediakan oleh ATLAS Vending, adalah satu pencapaian yang bermakna,” katanya.
Ujarnya lagi, mesin layan diri itu merupakan langkah ideal untuk mengembangkan perniagaan ke lokasi baharu, misalnya bagi usahawan yang hanya mempunyai perniagaan di Malaysia Timur dan berhasrat untuk menembusi pasaran di Malaysia Barat atau perniagaan dalam talian yang inginkan perniagaan secara fizikal.
“Ini kerana kadar sewaan bagi mesin layan diri jauh lebih rendah berbanding menyewa untuk kedai fizikal, ia dikendalikan secara automatik sepenuhnya tanpa memerlukan tenaga kerja, dan boleh beroperasi 24 jam tujuh hari.
“Kami berharap lebih ramai PKS akan mengambil kesempatan ini dalam norma baharu untuk menjalankan perniagaan dengan mesin layan diri,” katanya.
Sementara itu, Amy menambah, pihaknya turut memilih lokasi yang strategik bagi menempatkan 13 mesin layan diri tersebut sekali gus mudah untuk rakyat Malaysia mendapatkan kesemua produk daripada 13 buah negeri, pada satu tempat dengan selesa.
“Kami memilih KL Sentral sebagai lokasi untuk menempatkan 13 mesin layan diri ini kerana ia merupakan hab perjalanan utama di Lembah Klang. Ia juga menjadi pusat perniagaan utama bagi rakyat Malaysia dari seluruh negeri yang melalui lokasi ini dalam perjalanan harian mereka.
“Lokasi ini membolehkan penduduk di Lembah Klang membeli produk dari pelbagai negeri yang mereka rindui, dari 13 mesin layan diri, pada sepanjang masa,” ujarnya.
Kempen Sapot SME hanyalah fasa pertama dalam rancangan ATLAS Vending untuk memperkenalkan mesin layan diri terbaru di seluruh Malaysia apabila menawarkan lebih banyak pilihan selain daripada minuman dan makanan ringan yang biasa dijual.
“Menerusi pengenalan mesin layan diri ATLAS Minit Mart ini, para pengguna di Malaysia boleh mendapatkan produk yang biasa mereka beli di kedai serbaneka dan pasar mini menerusi mesin layan diri berautomasi yang beroperasi 24 jam setiap hari.
“Daripada mi segera hinggalah kepada sambal, perencah dan rempah ratus yang diperlukan untuk memasak, beraneka jenis makanan ringan bergoreng tempatan, buah-buah kering, bertih jagung serta brownies, termasuk produk lain seperti ice blended milkshakes. Produk yang ditawarkan menerusi ATLAS Minit Mart ini akan mengubah konsep mesin layan diri dalam minda rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Untuk maklumat lanjut atau peluang kolaborasi, orang ramai boleh menghubungi ATLAS Vending di talian 1300 1300 61 atau laman rasmi Facebook di https://www.facebook.com/atlasasia.co.
Niaga AWANI: Atlas Vending: #SapotSME sempena Hari Malaysia 2021
#ATLAS Vending #mesin layan diri #vending machine #PKS #usahawan #Hari Malaysia #Hari Kebangsaan #COVID-19 #perniagaan #perintah kawalan pergerakan #KL Sentral
;