Astro umum dividen interim pertama 1.25 sen sesaham
Astro Awani
Jun 21, 2022 19:54 MYT
Jun 21, 2022 19:54 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengumumkan dividen interim pertama berjumlah 1.25 sen sesaham.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, pengumuman itu dipengaruhi kemampuan syarikat mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dalam aspek pengurusan modal syarikat.
Menurutnya, tidak termasuk kerugian forex terealisasi, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal untuk suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023 adalah RM119 juta.
“Pemulihan yang dijangkakan dalam sentimen pengguna dan perbelanjaan hasil daripada pembukaan semula sepenuhnya aktiviti-aktiviti ekonomi telah diperlahankan oleh kenaikan inflasi.
“Ia juga diperlahankan dengan gangguan rantaian bekalan global yang disebabkan oleh peristiwa geopolitik yang semakin memuncak dan sekatan COVID-19.
“PATAMI suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023 Astro terkesan dengan turun naik forex,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) syarikat bertambah baik ke RM97.40.
Jelasnya, ia disumbang migrasi para pelanggan ke pakej-pakej baharu dengan lebih nilai yang dilancarkan pada November lalu.
“Selain daripada Netflix, kami telah integrasikan aplikasi Disney+ Hotstar pada Ultra Box kami, mengukuhkan lagi Astro sebagai destinasi penstriman utama untuk rakyat Malaysia.
“Pada masa ini, kami mempunyai enam perkhidmatan penstriman yakni Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, Astro GO, TVBAnywhere+ dan iQIYI, dengan banyak lagi yang akan datang termasuk Zee5, BeIN dan BBC Player.
“Lebih 600,000 rumah kini menggunakan Ultra dan Ulti Box yang berfungsi dengan satelit dan jalur lebar. Astro GO mempunyai 867,000 pengguna aktif setiap bulan dengan purata tontonan lebih tiga jam mingguan.
“Penstriman program On Demand naik 48 peratus dari tahun ke tahun ke 148 juta,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam suku sama, pangkalan jalur lebar Astro berkembang 50 peratus dari tahun ke tahun dengan ramai pelanggan menggabungkan jalur lebar dengan kandungan televisyen untuk lebih nilai.
Dalam pada itu, perbelanjaan pengiklanan (Adex) suku pertama Astro untuk tahun kewangan berakhir 2023 naik dua peratus, dari tahun ke tahun ke RM112 juta.
Selain itu, Astro juga telah menjamin Hak Siaran Premier League untuk tiga musim sehingga 2024/2025 selepas menyambung kerjasama berpanjangan dengan Premier League.
Justeru, Astro akan menawarkan semua 380 perlawanan dalam HD dengan perlawanan-perlawanan terpilih dalam 4K UHD.