Astro terus catat pertumbuhan di sebalik sentimen pengguna yang mencabar
Astro Awani
Disember 8, 2015 21:49 MYT
Disember 8, 2015 21:49 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) hari ini mengumumkan prestasi untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2016. Hasil perolehan Kumpulan meningkat sebanyak 5% dari tahun ke tahun, ke sejumlah RM4.1 bilion, menyaksikan kadar peningkatan EBITDA sebanyak 8% kepada RM1.4 bilion manakala PATAMI meningkat 9% kepada RM411.6 juta.
Dengan aliran tunai yang kukuh dan peruntukan modal yang berhemah, ia menyumbang ke Aliran Tunai Bebas (FCF) kepada RM1.07 bilion.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, “Walaupun berhadapan dengan sentimen pengguna yang tidak menentu, Kumpulan Astro terus berjaya mencatatkan strategi pertumbuhan yang positif untuk menjana pembentukan nilai pemegang saham. Justeru itu, pihak Lembaga Pengarah sukacita mengumumkan dividen interim ketiga bernilai 2.75 sen sesaham iaitu 22% lebih tinggi berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu”.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Rohana Rozhan berkata, “Kita akan terus menyajikan para pelanggan dengan pelbagai pilihan menarik dengan nilai yang lebih baik ke atas semua produk dan perkhidmatan di seluruh platform kami. Walaupun berdepan dengan persekitaran pasaran yang mencabar, kita berjaya meraih 218,000 untuk perkhidmatan TV Berbayar dan ia turut disokong dengan pertambahan jumlah pelanggan NJOI (+43% kepada 1.2 juta).
"Senario ini telah berjaya meningkatkan jumlah pelanggan menjadikannya 4.7 juta (Perkhidmatan Astro TV Berbayar: 3.5 juta, NJOI: 1.2 juta), atau 66% kadar penembusan pelanggan TV pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2016 (Suku Ketiga Tahun Kewangan 2015: 62%)”.
“ARPU turut mencatatkan peningkatan dari RM98.50 kepada RM99.30 dan ia disokong oleh pengambilan perkhidmatan nilai tambah. Pelanggan memberi reaksi yang positif dengan perkhidmatan On Demand yang dilancarkan pada bulan Oktober 2015, menyaksikan jumlah pemilikan dekoder bersambung meningkat kepada 252k dan jumlah muat turun Astro on the Go (AOTG) meningkat kepada 1.8 juta dengan kadar purata masa tontonan mingguan melebihi 150 minit”.
Astro terus konsisten dalam membangunkan dan mencipta kandungan tempatan yang menarik dan mempunyai nilai pasaran. Filem blockbuster Astro yang terbaru, “Polis Evo” yang kini turut disiarkan di rangkaian Astro, telah berjaya mencatat sejarah dunia perfileman Malaysia apabila berjaya mengutip RM18 juta.
Jumlah tontonan yang dicatatkan terus meningkat. “The House”, siri digital mini kami yang pertama dan menyasarkan golongan muda berjaya mencecah sejumlah 5 juta tontonan di platform digital dan TV, hanya dalam masa 4 minggu. Dari aspek kandungan pendidikan pula, drama ulang kaji interaktif UPSR yang pertama di Malaysia, “Geng UPSR” berjaya meraih 2.7 juta penonton TV, 1.5 juta tontonan di laman YouTube dan 1.4 juta soalan ulangkaji telah dijawab di aplikasi iTutor.
Perkembangan syer TV Adex dan Radex Astro turut dilihat positif dan berkembang kepada 34% dan 60.5% setiap satu yang mana ia disokong oleh jumlah tontonan TV dan pendengar radio yang semakin meningkat.
Go Shop, usahasama e-dagang yang diambil Astro berjaya mewujudkan prestasi cemerlang dengan perolehan terkumpul sebanyak RM126 juta dan ia disumbang oleh sambutan menggalakkan yang diraih dari saluran Go Shop di dalam versi Bahasa Cina.
Sebagai kesimpulan Rohana berkata, “Astro akan terus fokus dalam memperkembangkan pangkalan data pelanggan, terutamanya di kalangan pelanggan yang berpotensi untuk melanggan dengan menyediakan mereka produk-produk dan perkhidmatan yang terhebat, dan menawarkan pengalaman baru dengan nilai yang mampu menambat hati. Pelanggan perkhidmatan NJOI kini boleh menikmati 9 saluran menerusi platform AOTG.
"Untuk tahun 2016, pelanggan Astro boleh menikmati tahun yang penuh dengan kegemilangan apabila dua acara sukan utama bakal disiarkan, UEFA EURO 2016 dan Sukan Olimpik Rio 2016.
“Kami akan sentiasa proaktif dalam menguruskan realiti perniagaan terkini dan menyediakan pilihan kandungan terbaik demi memastikan Astro terus menerajui pasaran dan mampu mengekalkan pertumbuhan yang mampan. Tahun 2016 dijangka akan lebih mencabar dengan nilai program-program berunsurkan sukan dilihat meningkat dan persekitaran matawang asing yang dilihat tidak menentu. Walaupun demikian, Astro akan terus komited dalam menyampaikan polisi dividen”.