Astro rangkul dua anugerah pada Putra Brand Awards 2023
Astro Awani
Januari 19, 2024 01:00 MYT
Januari 19, 2024 01:00 MYT
PETALING JAYA: Astro merangkul dua anugerah pada Putra Brand Awards 2023 yang diadakan pada Jumaat malam di Petaling Jaya.
Pada majlis penganugerahan itu, Astro membawa pulang Anugerah Platinum menerusi kategori Media & Network manakala stesen radio nombor satu negara, Era FM merangkul Anugerah Perak.
Putra Brand Awards 2023 merupakan satu-satunya anugerah jenama, bagi pengurus dan pemilik jenama bertujuan mengiktiraf jenama yang menghubung dan membina hubungan kukuh dengan pengguna.
Pemenang dipilih melalui kajian melibatkan sekurang-kurangnya 6,000 pengguna di Malaysia bagi menentukan jenama kegemaran negara dalam pelbagai kategori.
Menurut penganjur Putra Brand Awards, lebih 11,000 maklum balas pengguna diterima dalam tempoh tinjauan selama lapan minggu dari September hingga Oktober pada 2023, terdiri daripada mereka yang menjawab iklan yang diterbitkan di 62 laman web.
Maklum balas telah dikumpul secara langsung oleh syarikat penyelidikan Ipsos, dan itu disusun untuk pengesahan oleh lembaga pengelola.