Astro rakan kongsi pertama aplikasi iQIYI di luar China
Isabelle Leong
November 6, 2019 17:07 MYT
November 6, 2019 17:07 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan perkhidmatan hiburan dalam talian utama di China, iQIYI melancarkan aplikasi iQIYI di Malaysia pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan Poh Hock berkata kolaborasi tersebut sekali gus menjadikan Astro sebagai rakan kongsi pertama yang dipilih iQIYI untuk jalinan hubungan dengan negara luar.
Henry berkata, kerjasama bersama iQIYI ini dianggap tepat pada masanya memandangkan perkhidmatan penstriman terus menjadi permintaan hangat.
“Kami melihat dua kriteria utama iaitu platform tersebut perlu mempunyai kandungan yang menarik dan kedua, mereka mesti mempunyai pengalaman pengguna yang baik dengan menggunakan teknologi terkini bagi menyenangkan pelanggan.
"iQIYI menepati kedua-dua kriteria ini dan sebenarnya, iQIYI ialah yang terbaik di pentas global dari segi kandungan dan pengalaman pengguna.
“Oleh itu, kami sangat teruja untuk mengalu-alukan iQIYI kepada Astro dan Malaysia," katanya apabila ditemui selepas pelancaran aplikasi iQIYI di Astro, Bukit Jalil pada Rabu.
Beliau menyasarkan seramai 100,000 pengguna baharu akan memuat turun aplikasi tersebut pada tahun pertama.
Sementara itu, Presiden Keahlian dan Kumpulan Perniagaan iQIYI, Yang Xianghua berharap kolaborasi tersebut dapat memberikan perkhidmatan hiburan berkualiti menerusi perkongsian penyelidikan dan pembangunan, keupayaan penyimpanan data dan kuasa pengkomputeran bersama-sama rakan kongsi mereka.
“Pada awal tahun ini, saluran iQIYI yang pertama boleh didapati di rangkaian Astro. Ia merupakan saluran televisyen linear pertama kami di seluruh dunia dan pada kali ini, kami mengumumkan bahawa aplikasi kami sudah boleh dimuat turun di Malaysia dan kami bekerjasama dengan Astro untuk mempromosikannya.
“Astro dan iQIYI sudah menjalinkan kerjasama untuk jangka masa yang panjang. Pasukan Astro sungguh rajin dan boleh dipercayai.
“Kepercayaan sudah terbuna sejak beberapa tahun lalu dan sebab itulah kami memilih Astro sebagai rakan kongsi kami di Malaysia," katanya.
Kerjasama berkenaan juga menyaksikan penampilan tiga kandungan asal ASTRO seperti Miss Astro Chinese International Pageant, Call Me Handsome dan drama web Why So Famous dalam aplikasi tersebut.
Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun di telefon pintar dengan operasi Android dan iOS serta Apple TV.
Pelanggan Astro boleh menikmati keistimewaan eksklusif seperti keahlian VIP percuma selama dua bulan dan diskaun menarik.
#Astro
#Astro Malaysia Holdings Berhad
#China
#Henry Tan Poh Hock
#iQIYI
#rakan kongsi
#Yang Xianghua