Astro Radio sasar 50% tambahan pasaran iklan
Astro Awani
Mei 16, 2013 20:09 MYT
Mei 16, 2013 20:09 MYT
Astro Radio Sdn. Bhd. (Astro Radio) menyasarkan pertambahan sekurang-kurangnya 50 peratus pasaran iklan ke atas radio (Radex) tempatan pada tahun pertama di Kuantan.
Ketua Pegawai Komersialnya, TH Chong berkata bermula dengan membuka pejabat Astro Radio Wilayah Pantai Timur di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2008, kini wujud permintaan amat tinggi daripada peniaga-peniaga di daerah Pahang sehingga terpaksa membuka satu pejabat jualannya di Kuantan.
"Kami dapati terdapat banyak peluang di Kuantan, oleh itu kami ingin mengembangkan potensi pasaran penjualan operasi di sini.
"Kami mengharapkan lebih banyak pengiklan dan syarikat akan terus berkerjasama dalam memperluaskan bisnes kami serta bisnes mereka," kata Chong.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd Dr Jake Abdullah berkata kos iklan akan lebih murah jika ianya hanya dibuat sekitar kawasan Kuantan berbanding kos iklan untuk seluruh negara.
" Kita lihat dari segi ekonomi, ianya lebih baik dan kami juga boleh memberi servis yang khusus dan secara peribadi," beliau berkata.
Maka dengan adanya pejabat jualan Astro Radio di Kuantan, ini memberi satu pilihan lain kepada perniagaan tempatan untuk berkembang dan didengar dengan menggunakan 10 stesen radio pada kos yang sangat berpatutan.
Jumlah pendengar radio di Malaysia yang sangat tinggi iaitu 92 peratus daripada 18.06 juta golongan berumur 10 tahun ke atas, telah menggunakan medium ini dan jumlah itu berkembang setiap tahun.
Ini jelas menunjukkan peranan radio sebagai medium penyampai maklumat masih relevan walaupun berdepan dengan pelbagai medium baharu lain.
Nilai Industri Radio tahun lalu adalah RM427 juta dan dijangka cecah RM448 juta tahun ini, Astro Radio optimis mampu mencapai 60 peratus penguasaan Radex tempatan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Dengan menerajui kesemua empat bahasa tersebut dan dengan rekod 12.34 juta pendengar unik seminggu, Astro Radio berharap mengekalkan status peneraju dalam semua segmen.
“Tetapi yang pentingnya kita sudah membuka pejabat di sini, jadi peniaga kecil akan mendapat harga yang lebih murah untuk iklan,” kata Jake.
Astro Radio kini mengendalikan sembilan saluran adalah ERA fm, SINAR fm dan THR Gegar dalam kategori bahasa Melayu. Manakala hitz.fm, MIX fm dan Lite FM dalam kategori bahasa Inggeris dan MELODY FM serta MY FM di dalam bahasa Cina dan THR Raaga dalam kategori bahasa Tamil.