Astro meterai kerjasama lancar saluran dokumentari Asia pertama

Astro Awani
Oktober 14, 2014 13:48 MYT
Astro Malaysia dan Moving Visuals International (MVI) memeterai perjanjian kerjasama untuk menubuhkan saluran Spark Asia.
Syarikat peneraju media pengguna, Astro Malaysia dan Moving Visuals International (MVI) yang berpangkalan di Singapura memeterai perjanjian kerjasama untuk melancarkan satu saluran dokumentari - Spark Asia.
Saluran berdefinisi tinggi itu dijangka mula bersiaran dalam separuh tahun pertama 2015.
Kandungannya akan meliputi genre sains dan teknologi, eksplorasi, sejarah, alam sekitar, alam semula jadi dan hidupan liar.
Saluran Spark Asia akan menyiarkan kandungan diperoleh daripada Autentic dan ZDF Enterprise.
Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan berkata wujud peluang besar bagi kandungan berfakta yang bukan sahaja boleh menarik perhatian penonton di Asia malah di seluruh dunia.
Beliau percaya penyiaran Spark Asia mempunyai potensi besar dan kena pada masanya.
“Dengan minat yang semakin mendalam terhadap kandungan dari Asia, terdapat peluang besar dalam kandungan berfakta dari Asia yang bukan sahaja menarik perhatian penonton di Asia, tetapi juga di seluruh dunia.
“Selaras dengan kekuatan kita dalam penciptaan hak intelektual (IP) dan kandungan berjenama, kami percaya bahawa pengumpulan cerita dan kandungan berfakta berkenaan Asia dalam saluran dokumentari berjenama Asia adalah tepat pada masanya dan mempunyai potensi yang amat besar,” kata Rohana.
Saluran Spark Asia kini sudah disiarkan di rantau timur Eropah dan Afrika.
#Astro #Autentic #Moving Visuals International #MVI #SPARK ASIA #ZDF Enterprise