Astro meterai kerjasama dengan Grup Majalah Karangkraf, tubuh entiti baharu
Luqman Hariz
Disember 7, 2017 11:42 MYT
Disember 7, 2017 11:42 MYT
Astro Malaysia Holdings Bhd dan Grup Majalah Karangkraf (GMK) Sdn Bhd memeterai perjanjian penubuhan sebuah syarikat usahama dengan modal permulaan berjumlah RM200 juta.
Melalui kerjasama tersebut, Astro dan Karangkraf bakal memanfaatkan platform masing-masing dalam memasarkan kandungan digital khususnya untuk pasaran serantau.
Kerjasama strategik ini bakal menyaksikan Astro melabur sejumlah RM100 juta dengan pegangan 51 peratus dalam entiti terbaharu ini bersama Karangkraf, Karangkraf Digital 360 Sdn Bhd menguasai selebihnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Datuk Rohana Rozhan, kerjasama ini selaras dengan inisiatif Astro untuk meningkatkan pengeluaran (output) platform digital di peringkat kumpulan.
“Kerjasama ini mewujudkan situasi menang-menang. Kandungan Astro banyak berbentuk long-form untuk ditonton di rumah atau di skrin besar.
“Tetapi hari ini realitinya adalah, jika anda menonton kandungan di telefon bimbit anda tidak menonton kandungan di televisyen atau radio.
"Kami percaya dengan kandungan merentasi platform. Jadi, kerjasama ini bakal memberikan kami keluasan dan kedalaman dalam hubungan kami dengan pengguna,” katanya di majlis memeterai kerjasama Astro-Grup Majalah Karangkraf di ibu negara pada Rabu.
Sementara itu, Karangkraf juga bakal memanfaatkan kehadiran Astro di platform televisyen dan digital dalam memasar dan mendigitalkan kandungan yang sedia ada.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, kerjasama ini juga akan memberikan peluang kepada kumpulan itu untuk menghidupkan semula kandungan yang berada dalam simpanannya sejak 30 ke 40 tahun lalu.
“Kesemua kandungan yang sedia ada di Karangkraf, kita akan tukarkannya kepada kandungan digital.
“Kita juga akan menambah baiknya secara 360 darjah dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Astro menjangkakan kerjasama ini bakal meningkatkan jumlah pembaca atas taliannya kepada kira-kira 10 juta orang.
#Astro Malaysia Holdings Bhd
#digital
#Grup Majalah Karangkraf Sdn Bhd
#Hussammuddin Yaacob
#Karangkraf
#Karangkraf Digital 360 Sdn Bhd
#karier
#kerjasama
#Media
#penyiaran
#Rohana Rozhan
#strategik