Astro menang Anugerah Putra Brand 2018

Cynthia Ng
Oktober 26, 2018 22:25 MYT
Anugerah ini mendorong Astro untuk terus memberikan kandungan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
Astro telah memenangi Anugerah Emas kategori 'Media Rangkaian' di Anugerah Putra Brand 2018 yang berlangsung malam ini.
Ini adalah kali ke sembilan berturut-turut Astro memenangi anugerah jenama terbaik untuk kategori tersebut.
Pengarah Kumpulan Jualan Media Astro, TH Chong berkata anugerah itu akan mendorong Astro untuk terus memberikan kandungan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
"Astro kini mencapai 23 juta individu dan pelanggan kami mencecah 5.6 juta isi rumah.
“Anugerah yang diterima malam ini ialah pengiktirafan kepada pencapaian dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Astro. Ini adalah motivasi kepada kami untuk terus memberikan kandungan terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Dilancarkan pada 2010, Anugerah Putra Brand ialah inisiatif Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.
Untuk tahun ini, pemenang dipilih berdasarkan tinjauan yang dilakukan ke atas 6,000 pengguna, berdasarkan faktor keinginan pengguna untuk membeli produk dan perkhidmatan jenama yang dicalonkan.
“Anugerah ini amat bermakna kerana ia tidak boleh dibeli dengan wang. Anugerah ini mengiktrif keyakinan dan kepercayaan para pengguna terhadap jenama pilihan mereka,” kata Pengerusi Penganjur Anugerah Putra Brand, Datuk Johnny Mun.
Anugerah tersebut disampaikan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur dan dihadiri tokoh -tokoh korporat, perniagaan, pemasaran dan pengiklanan dari jenama tersohor di Malaysia.
#Anugerah Emas #Anugerah Putra Brand 2018 #Astro #Media Rangkaian #TH Chong
;