Astro Kasih: Walk for Education, tingkat kesedaran terhadap akses pendidikan

Haikal Raman
Mei 28, 2022 14:25 MYT
Walk for Education bermatlamat memperjuangkan kesaksamaan pendidikan, khususnya kepada para pelajar di Sabah dan Sarawak. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Program Walk for Education dianjurkan Astro Kasih berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 2,000 peserta ketika acara diadakan di Taman Wetland Putrajaya pada Sabtu.
Acara berjalan sambil menderma yang juga merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Astro tersebut bermatlamat memperjuangkan kesaksamaan pendidikan khususnya kepada para pelajar di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, Walk for Education bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menunjukkan sokongan kepada pelajar di kawasan pedalaman yang ada di kalangan mereka terpaksa berjalan kaki ke sekolah setiap hari.
Walk for Education merupakan acara yang baik dan kita cuba untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, yang mana terdapat pelajar di kawasan pedalaman di negara kita ini yang terpaksa berjalan jauh untuk hadir ke sekolah pada setiap hari.
“Kita turut ingin meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bagi membantu memudahkan urusan para pelajar tersebut agar mereka mempunyai lebih banyak masa berada di sekolah, mampu mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah selain dapat meningkatkan gred pelajaran masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada acara Walk for Education yang berlangsung di Taman Wetland, Putrajaya di sini pada Sabtu.
Astro Kasih | Walk for Education, kesedaran terhadap akses pendidikan
Tambahnya, semua pihak sedia maklum bahawa melalui pendidikan, masyarakat dapat mengubah kehidupan dengan lebih baik dan syarikat percaya akan kesaksamaan terhadap akses pendidikan adalah wajar kepada semua rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Teknologi Radiance Assets Bhd., Adam Dahlan, syarikat memberi tumpuan kepada membina atau mencorak pemimpin masa hadapan.
“Kami ingin membantu, mencorak dan membina pemimpin masa hadapan dan cara yang terbaik adalah melalui pendidikan. Ini merupakan satu langkah ke hadapan, yang mana kita tidak mengambil kita soal latar belakang… sebaliknya akses pendidikan adalah sama rata kepada semua.
“Ia juga perlu dimulakan dari suatu usaha awal dan kami sangat gembira menjadi sebahagian daripada inisiatif dilaksanakan Astro pada hari ini (Sabtu),” jelasnya.
Pelakon terkenal, Vanidah Imran yang turut menyertai acara Walk for Education ini turut senada bahawa akses pendidikan sangat penting kepada semua malah, acara diadakan memberi kesedaran dan pengalaman seperti yang dilalui pelajar di kawasan pedalaman.
“Saya dapat merasai sedikit daripada apa yang mereka lalui dan perkara itu semestinya memberi saya kesedaran terhadap situasi akses pendidikan di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Meskipun jauh dan tiba di sekolah dalam keadaan tidak selesa dan berpeluh-peluh, mereka tetap cekal menjalani rutin ke sekolah pada setiap hari. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka selain mampu melancarkan urusan pada masa hadapan,” katanya.
Walk For Education turut disokong oleh Radiance Assets Bhd., BookXcess, C.R.M Solutions Sdn. Bhd., Kinohimitsu, Multimedia Entertainment Sdn. Bhd., Pantai Hospital Cheras, 7 Days, VitaHealth dan 100PLUS.
#WalkForEducation #AstroKasih #AksesPendidikan #PendidikanUntukSemua #Astro #pendidikan #Putrajaya #henry tan
;