Astro, Kantar Media lancar sistem ukuran DTAM

Dania Zainuddin
Julai 10, 2015 07:26 MYT
Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan bersama Pengarah Global Kantar Media, Nick Burfitt semasa majlis pelancaran DTAM di KLCC pada Khamis. - Astro AWANI
Astro Malaysia Holdings Berhad menjalinkan kerjasama dengan Kantar Media bagi melancarkan sistem pengukur penonton televisyen dinamik, DTAM.
Sistem ini menyediakan akses maklumat secara terperinci berhubung tabiat penonton televisyen berbayar di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Astro Malaysia Holdings Berhad, Henry Tan berkata syarikat itu telah memulakan insiatif dan menaja pelancaran sistem ini di Malaysia.
Tambah beliau, sistem DTAM ini dibuka kepada mana-mana pihak yang berminat mendapatkan maklumat daripada sistem tersebut.
Sistem DTAM menggunakan teknologi data pulang dikenali Return Path Data (RPD) bagi mengumpul data secara terus dari set top box Astro.
Setakat ini, penggunaan panel DTAM mampu menyediakan saiz sampel data sehingga 5,000 isi rumah berbanding sistem sedia ada yang hanya mengukur 500 isi rumah.
"Saiz sampel kini adalah 10 kali ganda lebih tinggi, dan ini adalah perubahan yang amat besar, itu yang pertama.
"Kedua, sistem pengukur TV setakat ini tidak mampu mengukur saluran berdefinisi tinggi, (HD).
"Jika anda rekod dan menonton rancangan kegemaran anda, kini boleh diambil kira pada ukuran dan ini semua sangat penting, apa yang dipanggil ukuran penonton yang perlu melambangkan ukuran (tabiat penonton) sebenar," kata Henry Tan.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Majlis Pelancaran Dynamic Televisyen Audience Measurement di Kuala Lumpur Convention Center pada Khamis.
Usaha ini membuktikan kebolehan sistem DTAM mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan menyeluruh, iaitu termasuk saluran HD, saluran yang telah direkod dan tontonan On Demand, dan ini boleh dimanfaatkan syarikat pengiklanan dan agensi media di negara ini.
Sementara itu, perkhidmatan syarikat Kantar Media sudah digunakan di negara seperti Australia Kanada, Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.
#Astro #DTAM #henry tan #Kantar Media #RPD